CHECK MATE

Tinggalkan komen

Salam perjuangan……

Saya mendapat maklumat yang saya belum sahkan sumbernya tetapi mungkin ada kebenarannya.  Isu skandal video seks Anwar ini adalah satu usaha yang terakhir untuk mematikan watak DSAI di arena politik  Malaysia.  Jika perkara ini tidak berjaya maka tunggulah kejatuhan UMNO dalam PRU ke 13 nanti.  Oleh itu by hook or by crook DSAI pasti akan dicharge di mahkamah dan di tangkap dan seterusnya wataknya akan dihilangkan.  Perkara yang seumpama ini adalah tidak mustahil sebagaimana Amerika mematikan watak Osama Bin Laden dengan berita kematiannya.

Mengikut blog DSAI bahawa kemungkinan PRU semakin hampir berdasarkan peningkatan serangan untuk mengaibkan beliau.  Inilah uniknya politik Malaysia di mana pemerintah boleh melakukan apa sahaja cara samada betul atau salah untuk memastikan mereka terus berkuasa.  Rakyat pula diperbodohkan dengan pelbagai cerita dan berita yang diada-adakan untuk memeningkan minda rakyat.

Sarawak selepas PRN baru-baru ini jelas bukan lagi sebagai fix deposit kepada BN. Di mana sekarang PR telah mengenalpasti tidak kurang dari 10 kerusi parlimen yang akan dapat dimenangi dalam PRU akan datang.  Saya mengharapkan agar ada perubahan yang ketara kepada minda dan sikap pengundi Sarawak dalam menentukan pemimpin Malaysia nanti.

Budaya Fitnah Budaya Baru PRU 13

Tinggalkan komen

Salam perjuangan……

Saya agak terkejut dengan berita munculnya video seks terbaru melibatkan pemimpin pembangkang. Orang yang di tuduh ialah DSAI.  Setelah apa yang dilalui oleh DSAI berhubung dengan tuduhan liwatnya masih belum selesai, tiba-tiba tuduhan melakukan seks bersama wanita muda pula yang digunakan untuk menghancurkan karier politik DSAI.  Datuk Seri Hishammudin pula dengan senyum simpulnya menafikan pembabitan pihak polis dalam mencipta video seks pemimpin pembangkang tersebut.  Dilihat cara  beliau menafikannya  seolah-olah beliau sudah bersedia dan sedang menunggu sidang media tersebut.  Harap-harap persepsi saya ini tidak betul.

Mengapa DSAI harus di serang habis-habisan menjelang PRU ke 13 ini.  Pada hemat saya individu yang bernama DSAI ini ialah seorang manusia yang mampu menggugat kestabilan politik UMNO-BN dalam PRU- 13 nanti.  Seorang lagi yang menjadi ancaman ialah Tok Guru Nik Aziz( TGNA).  Beliau di lihat telah meletakkan PAS sebaris dengan politik Nasional dan mampu memerintah rakyat Malaysia yang berbilang kaum dna bahasa.  TGNA telah di terima oleh kaum cina dan India.  Inilah yang memeningkan kepala pemimpin BN.  Salah satu cara untuk mengurangkan pengaruh kedua-dua individu ini maka pembunuhan karier politik ke atas ke dua-dua individu ini hendaklah dilakukan.  Walaupun tidak masuk akal tetapi dengan ulangan yang berterusan dari media utama akan menyebabkan orang atas pagar boleh beralih sokongan kepada PR.

Jesteru itu, rakyat Malaysia harus sedar dan faham situasi menjelang PRU 13 akan datang ini.  Dapatkan penjelasan dari maklumat yang sahih dari pihak yang betul untuk mengetahui cerita yang betul.  jangan terpengaruh dengan suasana yang sedang di cipta oleh BN untuk menguasai minda rakyat hari  ini.

KEPUTUSAN MAHKAMAH SELARAS PERANGAI UMNO

Tinggalkan komen

Salam perjuangan….

Saya tidak terkejut apabila Hakim memberikan kemenangan 5 – 0 kepada UMNO dalam kes perebutan siapakah MB Perak yang sah.  Malah keputusan mahkamah adalah selaras dengan perangai pemimpin UMNO yang tidak menghormati perlembagaan Malaysia yang mereka sendiri junjung semasa mengangkat sumpah Ahli Parlimen.  Kerja merampas hak orang dengan cara yang tidak betul ini adalah sebati dengan perangai pemimpin UMNO malah ada yang sanggup membunuh untuk menutup bukti sebagaimana dialami gadis malang dari Monggolia.

Sebab itu jika rakyat bawahan mencuri kabel sehingga menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat yang lain adalah merupakan perkara biasa kerana mereka meniru perangai pemimpin UMNO sendiri yang merompak berbillion ringgit wang royalti Kelantan dan merampas sebuah kerajaan Rakyat di Perak dengan cara yang tidak tahu malu.  Malah harta negara di rompak dan  diagihkan kepada kroni seperti harta mak bapak mereka.

Saya berdoa semoga satu lagi keputusan mahkamah yang bersejarah ini akan menyedarkan rakyat betapa korupnya institusi kehakiman di Malaysia sehingga sanggup menjadi kuda tunggangan UMNO untuk memuaskan nafsu serakah mereka dengan sewenangnya.  Mahkamah sanggup diperalatkan untuk menjatuhkan seseorang seperti kes DSAI yang jelas tidak masuk akal dan seandainya kes seperti ini dibicarakan di negara selain Malaysia maka sudah lama kes itu di tolak.

Harapan kini bergantung kepada sejauhmana kesedaran rakyat keseluruhannya untuk melihat sebuah negara yang aman makmur dan di pimpin oleh sebuah parti yang boleh mentadbir Malaysia dengan lebih baik dari parti yang ada sekarang….

GELOMBANG KEMENANGAN PR

1 Komen

Salam perjuangan……

Politik Malaysia kembali bergegar dengan sorakan reformasi ke 2 dengan jalan cerita yang sama cuma pelakonnya ada sedikit perubahan di mana Saiful bekas pembantu DSAI memegang watak utama orang yang mendakwa.  Pelakon yang lain masih dikekalkan.  Perubahan watak utama ini amat perlu untuk meyakinkan rakyat bahawa orang yang di tuduh benar-benar bersalah kali ini.  Barangkali pemegang watak utama dahulu tidak mampu atau tidak mencapai standard pelakon terbaik.

Menurut cerita yang semua maklum bahawa terdapat satu perancangan yang teliti untuk memenjarakan DSAI kali kedua.  Tujuannya ialah menghalang kebangkitan “waiting goverment” yang sekarang ini telah berada di landasan yang betul untuk menuju ke Putrajaya bagi merealisasi hasrat dan cita-cita rakyat Malaysia yang mahukan “good goverment” diberi peluang untuk mentadbir Malaysia yang tercinta setelah 50 tahun merdeka.

Dalam masa yang sama, saya suka mengingatkan kepada semua jentera pakatan rakyat bahawa jika benar kita berhasrat menawan putrajaya maka cita-cita tersebut wajib diiringi dengan satu tindakan yang bersungguh-sungguh dari semua kepimpinan supaya adanya pelan bertindak kemenangan yang jelas dan terang bagi memudahkan ahli melaksanakan segala kerja yang wajib dipikul oleh mereka.  Salah satu kerja yang berat ialah memastikan semua rakyat Malaysia yang belum berdaftar mendaftarkan diri sebagai pemilih dalam buku daftar pemilih SPR.  PAS sendiri hendaklah menentukan dari sekarang sasaran 60 kerusi kemenangan dan wajib berusaha untuk mencapai kemenangan tersebut dengan segala pengalaman dan kekuatan yang ada di pihak PAS begitu juga di pihak pakatan yang lain.

Yakinlah PAS mampu menjadi parti dominan dalam pru 13 nanti bersama Pakatan rakyat memerintah Malaysia tetapi dengan syarat semua pimpinan mesti bersatu menghalakan semua senjata kepada musuh yang satu iaitu UMNO dan BN. Jangan rasa kecewa dan rendah diri.  Saya sempat bergurau kepada sahabat saya apabila diceritakan bahawa DSAI akan dikenakan hukuman penjara diakhir perbicaraan kes beliau.  Lantas saya secara berseloroh katakan ” biar lah DSAI masuk penjara untuk beberapa bulan dari sekarang dan Insyaallah kita akan membebaskan beliau dari penjara selepas kita memenangi PRU 13 nanti….Insyaallah

Mengapa saya begitu optimis dalam menilai peluang PR menawan putrajaya ialah kesedaran rakyat untuk memilih pemimpin yang amanah, jujur dan menunaikan janji.  Kesemua sifat tadi sudah tiada dalam kepimpinan umno dn BN.  Amanah rakyat yang mengangkat mereka sebagai pemimpin selama 50 tahun apakah dilaksanakan oleh mereka dengan sebaiknya.  Jujurkah pemimpin UMNO dan BN dalam setiap kata-kata dan tingkahlaku mereka dan akhirnya adakah mereka menunaikan janji mereka apabila mereka berjanji kepada rakyat dalam setiap PRU atau PRK, apabila mereka berjanji kepada kerajaan negeri dalam setiap perkara termasuk Royalti dan geran pembangunan.  Di sini rakyat sekarang boleh menilai apakah pemimpin yang ada patut dtukarkan atau dikekalkan.  Rakyat sekarang tidak boleh diperbodohkan oleh media kerana maklumat mereka akan perolehi diakhbar-akhbar internet yang disiarkan secara langsung….Jesteru itu keyakinan saya ialah satu gelombang perubahan rakyat akan berlaku dan UMNO BN akan tumbang dengan keegoan mereka nanti sebagaimana nasib parti LDP di Jepun yang telah berkuasa lebih 50 tahun dan telah menerima hukuman dari rakyat mereka sendiri… Tunggulah sejarah tersebut akan berlaku juga di Malaysia pada PRU ke 13 nanti…

PRK PERMATANG PASIR

4 Komen

Salam perjuangan,

SPR telah mengumumkan bahawa penamaan calon akan diadakan pada 17 ogos (Isnin) dan pengundian pula pada 25 (Selasa). Selain itu, tiada kompromi lagi untuk bangsal panas, perayu undi.  TPM Tan Sri Muhyidin Yassin berkata beliau mewakili BN akan mematuhi segala arahan dari SPR cuma beliau meminta SPR memantau perjalanan kempen pihak pembangkang. Sandiwara yang dilakukan oleh TPM ini seolah -olah cerita seorang pencuri yang bimbang di tuduh mencuri maka dia cepat-cepat menuduh orang lain sebagai pencuri. Memang dari pengamatan saya selaku rakyat bawahan, pihak yang sentiasa melanggar peraturan ialah pihak Kerajaan kerana mereka rasa mereka amat kebal dari undang-undang. Pihak mana yang menggunakan jentera Kerajaan untuk berdepan dalam setiap PRU atau PRK, pihak mana yang menggunakan wang bagi merasuah pegundi supaya menyokong mereka, pihak mana yang menggunakan media massa sebagai media kempen mereka ? pihak mana yang mengugut kakitangan kerajaan supaya menyokong mereka ? semua ini jelas kepada kita bahawa pihak mana yang telah melanggar arahan SPR dan pihak mana yang mematuhinya.

Saya tidak berani bertaruh tetapi saya cukup yakin jika UMNO BN bertanding sebagai anak jantan dengan tidak menyalahgunakan jentera kerajaan maka PR sudah lama memerintah Malaysia. UMNO/BN jangan bermimpi untuk memenangi mana-mana PRK atau PRU.  Sama-sama kita berdoa semoga semua pihak bersedia untuk bertanding secara anak jantan dan mematuhi segala arahan SPR dengan betul.

Kepada PAS dan Pakatan Rakyat, saya ingin mengingatkan supaya jangan merasa selesa dengan majoriti yang besar semasa PRU ke 12 baru-baru ini.  Saya melihat UMNO akan menggunakan strategi di MU baru-baru ini sebagai asas dengan membaiki segala kelemahan yang ada untuk berhadapan dengan calon PAS di PM nanti.  Soal calon yang di terima oleh rakyat mestilah menjadi kriteria utama, selain populariti seseorang calon tersebut.  Jika PM Datuk Seri Najib sudah memberi amaran kepada semua UMNO bahagian bahawa jawatan tidak lagi menjadi kriteria utama pemilihan calon sebaliknya penerimaan rakyat kepada seorang calon itu yang diutamakan sesuai dengan tema beliau iaitu rakyat diutamakan maka apa salahnya jika Pakatan Rakyat khasnya PAS sendiri mengguna pakai kaedah pemilihan calon seperti ini selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat itu sendiri.

MAMPUKAH PR BERTAHAN DENGAN SERANGAN BALAS BN

3 Komen

Salam perjuangan,

Nampaknya setelah hampir masuk setahun selepas PRU 12, UMNO BN kembali menguasai isu politik semasa. Kalau dulu kita melihat UMNO BN seolah-olah berada di pihak yang bertahan dengan serangan bertubi-tubi oleh PR. Kemenangan PR di lima buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen sesungguhnya telah meletakkan UMNO-BN dalam keadaan tertekan dan terpinga-pinga. Pengisytiharan 16 september sebagai tarikh keramat pertukaran kerajaan Malaysia juga cukup membimbangkan BN.

Sekarang saya melihat seolah-olah PR pula sedang mencari rentak dan terpinga dengan serangan balas UMNO BN bermula dengan merampas Kerajaan PR di Perak melalui lompat parti diikuti dengan ugutan kepada ADUN di Kedah menyebabkan perletakakn jawatan kemudian serangan peribadi kepada ADUN/EXCO di Selangor yang juga telah mengisytiharkan bersedia meletakkan jawatan.

Semua proses di atas bukanlah berlaku secara kebetulan tetapi melalui satu perancangan yang rapi dan cukup strategik. Namun pimpinan PR nampaknya gagal menghidu serangan balas tersebut walaupun sudah banyak teguran yang di buat supaya pimpinan PR memantau dan menyelaraskan pemerintahan di 5 buah negeri serta menjadikan ianya agenda PR yang paling prioriti.  Keinginan dan kehendak untuk memerintah Malaysia lebih cepat nampaknya telah membutakan mata dan memekakkan telinga pimpinan PR  sehingga lalai dengan prioriti yang dicadangkan oleh rakyat.

Sekarang belum terlewat sekiranya pimpinan PR kembali bermuhasabah serta meletakkan semula agenda PR bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa PR adalah satu-satunya  parti alternatif yang ada kepada rakyat jika sekiranya ingin melihat sebuah negara Malaysia yang lebih harmonis, adil dan bebas rasuah.

Islam Untuk Semua

3 Komen

Salam Perjuangan,

Alhamdulillah, millenium baru ini telah memberikan peluang dan ruang yang semakin luas kepada Islam untuk menempatkan dirinya pada posisi yang betul dan cepat. Krisis ekonomi dunia yang telah memperakui kegagalan sistem ekonomi sekular. Islam perlu mengemukakan solution yang dikehendaki oleh dunia bagi menyelesaikan krisis yang semakin teruk. Perubahan trend pengundi juga di lihat sebagai satu peluang yang memerlukan tindakan yang tepat dan segera dari pimpinan dan jamaah. Bagaimana kita mampu untuk mengajak seramai 5 juta lagi pegundi yang layak tetapi malas untuk mendaftar dengan pelbagai alasan tersendiri. Barack Obama telah membuktikan tindakan beliau yang betul telah mengangkat beliau untuk menjadi Presiden Amerika yang baru. Apakah PAS kekurangan para strategis untuk menarik pengundi tersebut supaya pada pru ke 13 nanti mereka akan mengangkat PAS menjadi kelompok yang kuat dalam Pakatan Rakyat. PAS dan PR ibarat kawan yang sedang bersaing untuk menjadi pelajar terbaik dalam kelas. Jika PAS leka maka orang lain sentiasa akan menjadi pelajar terbaik.
Satu lagi fenomena yang menuntut PAS membuat persediaan yang sempurna iaitu mengambil keuntungan dari perpecahan dalaman UMNO yang agak parah. Mereka umpama sebuah kapal yang sedang menunggu ombak besar memecahkan kapal. Di sinilah kebijaksanaan PAS diperlukan melalui beberapa pilihan iaitu menyelamatkan mereka terlebih dahulu sebelum karam atau menyelamatkan mereka setelah kapal pecah. Mungkin juga PAS akan membiarkan mereka tenggelam dengan kapal mereka. Di sinilah kecekapan pimpinan membuat keputusan yang segera dan tepat diperlukan kerana saya kira PAS akan rugi jika membiarkan kapal penyelamat lain sahaja menyelamatkan anak kapal tersebut.
Kehadiran dan kepimpinan utama PAS di dalam menyelesaikan semua isu nasional amatlah dinantikan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama,kaum dan bangsa. Islam telah diturunkan untuk memberikan rahmat kepada semua makhluk dan alam. Saya masih ingat keputusan cepat dan tepat Allahyarham Ust Fadzil Noor pergi kerumah DSAI sewaktu beliau dipecat dari UMNO telah di sambut dengan laungan takbir sekaligus memperlihatkan keterbukaan Islam untuk memberikan rahmat kepada semua pihak. Begitu juga isu tahanan India yang mati dalam lokap polis yang dilihat amat bertentangan dengan prinsip keadilan Islam seharusnya mendapat pembelaan yang segera dari PAS. Saya fikir ianya akan menguntungkan PAS jika kita bijak menangani isu ini dengan cermat. Kelewatan kita untuk memenuhi tuntutan perubahan landskap politik tanahair akan menyebabkan PAS akan semakin terpinggir dan tidak relevan. Oleh itu, pemimpin utama kita harus cekap dan cepat serta sensitif dengan kehendak massa malah kebersamaan merasai denyut nadi rakyat haruslah dilihat dan dirasai oleh masyarakat. Jika tidak, PAS hanya akan bisa menjadi jaguh kampung sahaja.
Sebenarnya PAS mempunyai semua kekuatan yang diperlukan tetapi sejauhmana ianya digunakan atau dimanipulasikan oleh pimpinan untuk menjadikan semua isu yang dihadapi sebagai kekuatan kepada PAS. Akhir kata Selamat Berjuang. Allahu Akbar !!!

Anwar dan Kerajaan Pakatan Rakyat

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Izinkan saya memetik tulisan Ahmad Lutfi yang agak panjang mengenai Kerajaan Pakatan Rakyat dan Anwar. Saya cukup tertarik dengan komen beliau dan saya boleh bersetuju dengan pandangan beliau apa yang sepatutnya anwar lakukan sekarang. Di samping cita-cita untuk menawan Putrajaya maka langkah lain juga patut di atur sebagai pelan B untuk memastikan Kerajaan Pakatan Rakyat akan benar-benar kukuh menjelang PRU ke 13 nanti. Petikan artikel sdr lutfi ini saya ambil dari harakahdaily.

Ahmad Lutfi Othman
Wed | Nov 12, 08 | 8:34:39 pm MYT

Berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya lalu, walaupun dalam situasi kritikal buat BN, gabungan parti itu sering diselamatkan oleh pola pengundian yang agak “saling bertentangan” oleh pengundi pelbagai kaum negara ini.

Ketika majoriti pengundi Melayu menolak secara terbuka Umno-BN dalam pilihan raya bersejarah 1999, yang ditandai kebangkitan tuntutan reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim, pengundi bukan Melayu dilihat menyelamatkannya. Dikatakan sekurang-kurangnya tujuh daripada sepuluh orang Melayu waktu itu menolak BN, tetapi ada pengundi bukan Melayu yang secara tradisinya menyokong pembangkang bimbang kerajaan BN boleh tumbang, maka mereka beralih mengundi BN.

Teori Pendulum sokongan terhadap PAS-DAP

Walaupun hampir semua kerusi Parlimen di kawasan Malay belt seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu dalam pilihan raya ke-10 itu jatuh ke tangan PAS, namun pemerintahan majoriti dua pertiga BN di peringkat pusat dan negeri-negeri lain tidak terjejas.

Bagaimanapun, semasa DAP mencapai kejayaan cemerlang pada pilihan raya 1986, dengan sokongan pengundi Cina, yang menyaksikan penguasaan 24 kerusi Parlimen dan 21 peratus undi popular, PAS yang bertanding buat pertama kali di bawah era kepimpinan ulama, hanya mendapat kerusi tunggal di Pengkalan Chepa. Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri tewas di Bachok.

Maknanya, apabila majoriti pengundi bukan Melayu, terutama masyarakat Tionghua, menyokong pembangkang, maka trend pengundian orang Melayu pula kembali menyokong BN. Ketika Umno menghadapi krisis keyakinan di kalangan pengundi Melayu, masyarakat bukan Melayu menunjukkan sokongan kepada BN.

Justeru, nampak seolah-olah formula BN untuk kembali menang besar dalam pilihan raya berikutnya agak mudah, terutama dengan memperalatkan SPR dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya, atau lebih popular dikenali sebagai proses gerymandering.

Pengundi Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu, “didera” secukupnya selepas Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berang dengan keputusan pilihan raya 1999. (PAS mempertahankan Kelantan dan menawan Terengganu, manakala BN di Kedah, majoriti dua pertiganya dalam sidang Dun berjaya dinafikan, sementara jumlah kerusi Parlimen PAS di negeri itu lapan, berbanding Umno hanya lima). Demi mengekalkan kuasa, pimpinan Umno sanggup melihat kerusi majoriti Melayu tidak bertambah, dengan andaian membanyakkannya di tiga negeri berkenaan hanya membawa padah buat survival BN.

Tiada langsung penambahan kerusi Parlimen di negeri-negeri berkenaan, selain “kerusi campuran” diperbanyakkan di negeri-negeri lain. Penyusupan pengundi bukan Melayu dibuat secara terancang di beberapa kerusi Parlimen milik PAS di Kedah, seperti Pokok Sena, Baling, Yan dan Kuala Kedah, dengan andaian mereka merupakan penyokong setia BN dan bilangan yang ditambah itu memadai untuk mengalahkan calon PAS.

Maka tewaslah Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Ustaz Taib Azamuddin, manakala Ustaz Nasaruddin Mat Isa terpaksa berpindah ke Besut, Terengganu dan turut kalah.

Kebangkitan serentak

Dalam pilihan raya yang lebih bersejarah pada Mac 2008, kebangkitan pengundi bukan Melayu nampak ketara, tidak lagi terhad kepada masyarakat Cina malah lebih menonjol di kalangan komuniti India. Secara terbuka sokongan terhadap PAS dizahirkan. Laungan “makkal sakhti” (kuasa rakyat) memang betul-betul mempunyai “sakti” sehingga Presiden MIC, Sammy Vellu bersama pimpinan kanan parti, kecundang dibuatnya.

Kelab Penyokong menjadi wadah untuk mereka aktif berkempen memenangkan PAS, dan hasilnya terakam indah dalam sejarah politik negara. Bendera PAS diarak oleh pengundi India, ramai di antara mereka “membalut” tubuh dengan panji-panji hijau-putih itu sepanjang tempoh berkempen dan di hari mengundi.

BN memang berpeluang untuk terus memanipulasi proses persempadanan semula menjelang pilihan raya ke-13, tetapi ia tidak semudah dahulu. Apakah kali ini pengundi bukan Melayu pula yang akan dihukum, lalu diperbanyakkan pula “kerusi Melayu” memandangkan Umno masih dilihat berpengaruh di kawasan luar bandar, termasuk di negeri yang sudah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, seperti Selangor dan Perak? Di dua negeri ini, wakil BN yang bertindak sebagai pembangkang hampir semuanya daripada Umno; calon-calon daripada MCA, MIC dan Gerakan kalah mengejut.

Tetapi, harus diingat, disebabkan Dr Mahathir Mohamad tersilap langkah dalam perancangannya memperalatkan proses persempadan semula kawasan pilihan raya tahun 2002, dengan membanyakkan “kerusi campuran”, ia lebih memudahkan Pakatan Rakyat menang.

Pengundi Melayu di kampung bakal berontak?

Tidak semestinya pengundi Melayu di kawasan luar bandar akan terus setia dengan Umno-BN kali ini. Lagipun, dalam pilihan raya 8 Mac lalu, orang Melayu di desa turut menunjukkan protes terhadap BN meskipun mungkin tidak sebesar yang dilakukan pada 1999. Tanpa kebangkitan bersama pengundi Melayu sudah tentu Pakatan tidak dapat membentuk lima kerajaan negeri. Manakala pengundi Melayu di bandar, dan juga yang membentuk kelas menengah, semakin matang kesedaran politik mereka.

Lalu, apa pilihan BN menjelang pilihan raya ke-13 nanti? Mampukah SPR terus ditunggangi memandangkan komitmen parti-parti Pakatan Rakyat dan badan-badan sivil untuk memperjuangkan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil — seperti ditunjukkan dalam demonstrasi besar-besaran anjuran Bersih tidak lama dulu — bertambah agresif.

(Satu peringatan: Dalam diam, tanpa sempat dihidu, BN tentu merancang taktik baru bagi memintas kemenangan Pakatan. Pimpinan BN masih menguasai kerajaan persekutuan, dengan agensi-agensi strategik masih di bawah kawalan mutlak mereka. Jadikan kes Terengganu menjelang pilihan raya 2004 sebagai iktibar bermakna).

Namun begitu, peralihan sokongan kepada Pakatan Rakyat tentu disusuli harapan besar masyarakat untuk melihat perubahan positif diterapkan sebelum penggal pemerintahan ini berakhir. Rakyat tentu mahu memastikan kehidupan mereka lebih baik, keadilan boleh dilaksanakan, pengagihan kekayaan lebih merata, rasuah diperangi, diskriminasi kaum-kelas dihapuskan, dan konsep kerajaan berkebajikan — walaupun dalam batasan negeri — dapat direalisasikan.

Lima negeri sebenarnya menampung sudah cukup besar ruang bagi kerajaan Pakatan Rakyat melakukan reformasi yang bermanfaat buat rakyat, apatah lagi ia melibatkan tiga negeri terkaya di Malaysia, manakala Kedah dan Kelantan mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri. Usah hanya disibukkan dengan rutin memastikan pemerintahan berjalan lancar tanpa berupaya menampilkan pembaharuan berkesan.

“Sekurang-kurangnya biarlah rakyat di negeri-negeri Pakatan dapat merasai perbezaan, walaupun untuk perkara-perkara asas, seperti jalan tar yang tidak berlubang-lubang atau lampu jalan yang lebih cerah dan banyak dipasang,” kata Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud ketika kami bersembang dalam penerbangan AirAsia dari Alor Setar ke KLIA, tidak lama selepas pilihan raya 8 Mac.

Namun, jangan mudah terjerat dengan perangkap perkauman serta mengulangi kesilapan Umno-BN selama ini. “Hantu perkauman” dipercayai masih “merayau-rayau” mencari mangsa. Oleh itu, saya kira, penjelasan terhadap nilai-nilai politik baru wajar dikembangkan kepada audien yang lebih meluas agar “puaka” lama itu dapat dikuburkan terus.

Prestasi Pakatan sedang diteropong

Rakyat tidak memberi cek kosong untuk diisi semahunya oleh pimpinan lima kerajaan negeri itu. Penyokong Pakatan Rakyat merupakan golongan kritis yang peka dengan setiap gerak pimpinan yang diangkat mereka. Justeru, tidak hairan apabila semakin banyak tanggapan negatif diluahkan melalui internet, sebahagiannya bernada kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan, tidak terkecuali ada yang mengkritik khusus pimpinan PAS.

Rasanya, jawapan balas yang memuaskan, terutama daripada segi amalan praktik, masih sukar diperolehi. Kita bimbang, jika rasa tidak puas hati itu terpendam dalam dada, ia mungkin dimuntahkan dalam bentuk penolakan sokongan undi semasa pilihan raya akan datang. Seperti sering diulang, jangan pandang mudah sebarang persepsi negatif pengundi terhadap PAS (dan juga Pakatan Rakyat) walaupun mungkin ia tidak diasaskan kepada fakta yang benar.

Soalnya, apakah strategi atau pendekatan politik berkesan untuk memenangi hati pengundi Melayu di kampung-kampung, secara automatik, pada masa sama, akan mengecewakan masyarakat Cina atau India?

Sebaliknya, apakah usaha mempertahankan sokongan pengundi bukan Melayu hanya akan menyebabkan orang Melayu mencurigai Pakatan, sekali gus mempersoalkan jatidiri PAS sebagai parti Melayu-Islam?

Isu-isu kontroversi seperti ladang babi dan jawatan Pengurus Besar PKNS di Selangor, dan kuota pemilikan rumah Bumiputera di Kedah mungkin nampak kecil, tidak terkecuali isu kampung baru di Perak, namun dalam suasana api politik komunal begitu mudah terbakar, kebijaksanaan pimpinan Pakatan untuk menanganinya amat dituntut.

Komitmen Anwar ke atas 5 negeri dituntut

Sokongan dalam pilihan raya akan datang tidak sukar ditelah. Ia banyak bergantung sejauh mana keupayaan lima negeri (terutama Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) dapat memenuhi impian pengundi yang menolak BN Mac lalu.

Kemampuan Pakatan mempertahankan sokongan bukan Melayu dan menarik lebih banyak undi Melayu akan membuatkan Umno-BN hilang takhta seluruhnya. Namun begitu, ia pastinya tidak datang menggolek di kala ramai pemerhati khuatir kerana belum nampak perancangan serius dibuat ke arah itu.

Persefahaman sesama parti dalam Pakatan harus terus dimantapkan dengan mengelak isu-isu sampingan dan “murahan” menjadi punca keretakan, selain sering mengadakan program bersama. Jalinan erat kerjasama itu hendaklah diperlihatkan bukan sahaja di peringkat pimpinan, tetapi juga meresap ke akar umbi.

Usaha membangunkan lima negeri di bawah Pakatan perlu digandingkan dalam satu perancangan bersama yang bersifat komprehensif. Rasanya sudah beberapa kali penegasan dibuat ke arah itu, oleh Anwar Ibrahim, tetapi hingga kini rakyat belum nampak perlaksanaannya. Dengan pengalaman berharga bekas Timbalan Perdana Menteri yang juga bekas Menteri Kewangan itu, serta hubungan meluasnya termasuk dengan pihak di luar negara, Anwar dipercaya dapat memainkan peranannya dengan lebih berkesan di negeri-negeri berkenaan.

Malah saya, sebelum pilihan raya ke-12, agak tertarik dengan cadangan agar Anwar bertanding di negeri Selangor, bagi memungkinkannya menjadi Menteri Besar jika BN dapat dikalahkan di negeri itu. Selangor boleh menjadi negeri teladan apabila Pakatan Rakyat dapat membangunkannya secara lebih bersepadu dan holistik. Ini dilihat dapat menyuntik keyakinan di kalangan rakyat untuk memberi undi lebih besar kepada Pakatan Rakyat untuk pilihan raya berikutnya.

Bagaimanapun, seingat saya, cadangan itu langsung tidak dipedulikan, apatah lagi apabila keputusan pilihan raya lalu menunjukkan kemenangan besar pembangkang yang langsung tidak dijangka!

AKHIRNYA PAK LAH MENGALAH

1 Komen

Salam perjuangan…

Saya ingin mengucapkan takziah di atas keputusan yang diambil oleh Pak Lah.  Dalam masa yang sama juga saya berharap kepada PR akan dapat merapatkan saff demi membulatkan tekad untuk menumbangkan kerajaan UMNO BN yang zalim ini.  Saya kira dengan pengumuman Pak Lah untuk tidak mempertahankan kerusi Presiden akan melenyapkan angan-angan individu tertentu untuk meletakkan harapan yang tinggi kepada Paklah untuk melaksanakan Islam.  Sekaligus akan memperkuatkan semula perjuangan yang telah diasaskan oleh Pemimpin terdahulu untuk menjadikan PAS sebagai parti alternatif kepada kerusi Melayu Islam di dalam Parlimen yang selama ini di monopoli oleh UMNO.

Perletakkan jawatan Paklah juga mungkin akan menjadikan menambahkan perasaan belas kasihan pemuda kepada khairi untuk memberikan beliau peluang meneruskan perjuangan mertuanya di dalam UMNO.  Ataupun mungkin sudah ada pakatan di antara Paklah,Najib, Hishamudiin dan kahiri yang kita semua tidak duga di sebalik fenomena ini…

Apapun perubahan yang berlaku di dalam pucuk pimpinan UMNO tidak akan mengurangkan sedikit pun doa dan perjuangan kita untuk mengalahkan UMNO BN dalam medan pertempuran PRU akan datang.  Mungkin ianya akan menguntungkan PAS kerana Najib di lihat pemimpin yang tidak bersih berbanding sewaktu Paklah mengambil alih kepemimpinan UMNO dulu.  Menurut pandangan salah seorang sahabat….Kita juga boleh melihat keadaan pasaran saham adakah terus turun dengan pengumuman ini, jika turun maka itu tandanya kepimpinan Najib tidak di terima. 

RAYA PUASA ENAM

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Sambutan raya yang diadakan oleh pelbagai organisasi dan individu nampak mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Majlis yang seumpama ini boleh merapatkan silaturrahim di kalangan kita. Namun di sebalik kemeriahan tersebut diharapkan kita semua tidak lupa satu lagi tuntutan ibadat yang perlu dilakukan di dalam bulan Syawal ialah puasa sunat selama sekurang-kurangna enam hari. Sesiapa yang berpuasa sebulan bulan ramadhan dan diikuti pula enam hari dalam bulan syawal maka ia seolah-olah telah berpuasa selama setahun. Besarnya fadhilat berpuasa enam hari dalam bulan syawal ini. Harap kita semua tidak akan melepaskannya. Saya sendiri pun belum berkesempatan untuk berpuasa.

Hari ini sambutan raya peringkat PAS Kawasan Kubang Kerian yang diadakan di SMUA Taqaddum Maarif Pasir Tumboh bermula jam 5 ptg hingga 11 malam. Program jamuan beserta ceramah isu semasa yang disampaikan oleh YAB Tok Guru, YB Dato Hj Husam, YB Sallehudin, YB Ahmad Baihaki, YB Mohd Mustafa. Hari khamis 9.10.08 pula sambutan raya peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri yang bermula jam 9 pg hingga 3 ptg yang diadakan di perkarangan stadium. Malamnya diadakan ceramah perdana yang akan disampaikan YAB Tok Guru, YB DSAI, YB Dato Husam, YB Saifudin di padang perdana.

Hari sabtu 11 okt 2008 pula sambutan raya peringkat parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.  Hari Ahad 12 Oktober 2008 pula sambutan raya peringkat PAS Malaysia yang diadakan di satadium Melawati Selangor.  Selain itu juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan sambutan raya untuk anak Kelantan di luar Kelantan sekitar Shah Alam.  Diharapkan sambutan raya yang kita adakan ini adalah merupakan sambutan kemenangan dan kejayaan kita mengatasi musuh kita yang nyata iaitu syaitan laknatullah dan nafsu kita sendiri. Lafaz dalam takbir raya sepatutnya membuatkan kita lebih sedar dan faham tuntutan perjuangan dan mengenali musuh kita.

Dalam keadaan begitu pun, saya masih merasa pelik bin ajaib kerana ada orang masih mengharapkan UMNO BN untuk melaksanakan Islam. Bagi saya kalau UMNO ikhlas untuk melaksanakan Islam maka 50 tahun dulu mereka telah melaksanakannya iaitu ketika mereka kuat. Sekarang di saat UMNO nazak adakah UMNO bersedia untuk berbuat demikian. Kalau PAS bersama UMNO maka selamanya PAS tidak dapat merampas kerusi Melayu Islam yang dipunyai oleh UMNO. Ini akan menjadikan PAS sentiasa kebelakang dan tiada peluang untuk menjadi teraju pemerintahan negara pada masa hadapan. Malah berkemungkinan sejarah lalu akan berulang lagi iaitu apabila UMNO kuat semula dan PAS akan ditendang begitu sahaja. Fikir-fikirkanlah……

Older Entries