16 Sept : Di mana PAS ???

2 Komen

Salam perjuangan

Pagi ini saya kembali bersemangat untuk kembali menulis setelah beberapa hari tidak sempat untuk update artikel terkini. Bulan Ramadhan ini saya di uji dengan kesihatan mertua yang semakin tidak menentu, kakak ipar pula kemalangan menyebabkan isteri saya yang tersayang tidak duduk diam terpaksa menumpukan perhatian menjaga bondanya yang tercinta. Apa yang menceriakan hati saya ialah kerenah anak-anak yang berpuasa. Anak saya yang sulong Nurul Nadhilah 11 tahun memahami kewajipan berpuasa. Manakala anak saya yang kedua ahmad syahmi 9 tahun dan ahmad syakir 7 tahun berpuasa dan bertarawih kerana janji saya akan memberikan upah seringgit untuk berpuasa dan seringgit untuk solat tarawih 8 rakaat. Moga tahun hadapan mereka akan memahami tuntutan berpuasa tanpa mengharapkan upah dari saya he! he! he!

Kembali kepada isu 16 september… Kita mengharapkan pertukaran pucuk kepimpinan negara akan menjadi realiti dan berjalan lancar seperti yang dirancang. Doa kita moga perubahan ini tidak akan menjadi huru hara seperti di Thailand sehingga memaksa pengisytiharan darurat dilakukan.

Semalam saya dimaklumkan satu mesyuarat Pakatan Rakyat telah diadakan. Saya khuatir PAS akan ketinggalan dalam isu peralihan kuasa ini. Dengan pelbagai alasan yang dicipta sendiri oleh PAS yang di lihat rakyat tidak istiqamah boleh membantutkan perjuangan yang telah diasaskan selama ini. Menumbangkan UMNO dan BN adalah perkara yang mesti dilakukan dan bukankah ini yang telah didoakan oleh semua pemimpin dan penyokong PAS ? PAS harus mengambil langkah yang lebih berseni dalam dunia politik kini dan demi meneruskan hasrat perjuangan yang murni ini. Janganlah sampai yang dikendong keciciran dan yang dikejar tidak dapat. PAS tidak boleh berterusan berkeras dan mengutamakan slogan negara Islam dan pada masa yang sama menolak pengisian yang baik yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. PAS bagi saya tidak ada pilihan melainkan bersama dengan Pakatan Rakyat untuk membina sebuah negara merdeka dari rasuah, penyelewengan, beramanah, adil dan berkebajikan sebagaimana pengisian sebuah negara yang diidamkan oleh PAS.

Belajar dari sejarah perjuangan Nabi Muhamad SAW sendiri pun semasa 13 tahun di Mekah tidak pernah menyebut slogan negara Islam tetapi pada masa yang sama mengamalkan pengisian yang dikehendaki oleh Islam. PAS juga harus melihat isu ini dalam kontek sebuah negara yang baru hendak berubah kepada yang lebih baik setelah sekian lama disesatkan oleh kebobrokan UMNO dan BN. PAS juga harus bersabar untuk menerajui kepimpinan Negara dalam suasana yang ada. Saya teringat kebijaksanaan Tok guru mengadakan tahalluf siasi dengan semangat 46 dulu telah memberi peluang kepada PAS membuktikan banyak perkara dalam pemerintahannya dan akhirnya ramai orang memahami perjuangan PAS di Kelantan sebab itulah apabilla semangat 46 bercerai talak 3 dipertengahan penggal ke 2 pemerintahan PAS namun rakyat tetap bersama tok guru.

Saya juga seakan boleh menjangka jika PAS bersabar dan bersama dengan Pakatan Rakyat di penggal pertama pemerintahan negara maka apabila masuk ke penggal kedua rakyat akan lebih dapat menerima PAS dan pada masa itu apabila PAS mempunyai banyak kerusi di Parlimen maka PAS lah yang akan memimpin Malaysia dengan lebih cemerlang. InsyaAllah.

PENGALAMAN DI PERMATANG PAUH

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Saya diarah untuk mewakili PASTI Kelantan ke Majlis Penyerahan CD Peperiksaan Akhir tahun 2008 yang diadakan di Kompleks SIRIM Permatang Pauh.  Saya menaiki firefly jam 8.15 pg dan tiba di Pulau Pinang 9.15 pg.  Kali ini saya sudah tidak MISS FLIGHT lagi.  Saya telah meminta sahabat iaitu Sdr Kamaruzaman mantan SU DPP Pulau Pinang untuk mengambil saya di airport dan membawa ke tempat program PASTI.  Alhamdulillah, saya telah berada di majlis tepat pada masanya.  Cikgu Azrin sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat telah lama menunggu.  Di situ saya telah berkenalan dengan Cikgu Rahim Timbalan Pengarah PASTI Pulau Pinang dan kami sempat juga berbincang soal peluang bisnes khususnya yang berkaitan dengan bidang beliau untuk dikembangkan di Kelantan. Insyaallah doakan saya dan Kamarulzaman akan berjaya juga mengembangkan bisnes packaging di Kelantan di bawah tunjuk ajar dan bimbingan Cikgu Rahim sebagai inkubator SIRIM di Pulau Pinang.

Setelah program tersebut selesai, saya telah di ajak oleh cikgu Rahim bersama Cikgu Azrin untuk menikmati hidangan nasi kandar Nasmir Pulau Pinang.  Enak juga rasanya.  Selepas itu saya menumpang cikgu Rahim untuk ke Permatang Pasir bagi meneruskan tugas PRK Permatang Pauh.  Saya telah di bawa ke Sekolah agama kelolaan MAIPP untuk mengikuti program cakna Keluarga anjuran Muslimat Kelantan di situ.  Sesampai di situ program telah tamat dan saya sempat berjumpa dgn YB Zulkifli Pulai Chondong yang merupakan Naqib usrah kepada cikgu Rahim semasa di kampus UKM dulu.  Dari situ saya telah di bawa ke markas JPN Negeri Pulau Pinang dan bertemu dengan Ust Yusni timbalan Ketua Pemuda Pulau PInang dan beberapa orang sabahat dari Pemuda PP dan juga JPN PP.  Apabila di tanya ke mana Ust Hafiz Ketua Pemuda PP, Ust Yusni secara berseloroh menjawab Ust Hafiz menunggu ketibaan DSAI di Putrajaya.

Saya kemudian menumpang cikgu Rahim ke Pejabat DUN Permatang Pasir iaitu kediaman YB Pak Hamdan.  Di situ saya telah menerima serahan tugas dari petugas PAS Kubang Kerian iaitu Abe Kob, Dr Ramli serta 2 orang penghulu DUN PT.  Selepas itu saya di ajak minum air kelapa muda di hadapan pej DUN dan berjumpa dengan beberapa orang pimpinan seperti Ust Idris Ahmad dan YB Wan Hassan ADUN Semerak.  Sesudah minum air saya menghadiri  mesyuarat harian JPN Kelantan.  Malam itu ada pertunjukkan wayang pacak di hadapan Bilik Gerakan JPN Kelantan yang dibawa khusus oleh YB Baihaqi Ketua Penerangan PAS Kelantan di samping program anjuran Nisa dan Muslimat Kelantan dibawah seliaan Che Na UPWK dan YB Kak Ni ADUN Tjg Mas.

Saya telah di bawa oleh Ust Yusni, Cikgu Rahim dan Kamaruzaman untuk menikmati tempat makanan yang masyhur  iaitu mee udang di sungai Dua, Nasi Daging di Pongsu Seribu, kedai makan hentian permai tepi sungai di seberang jaya, laksa penang dll.  Saya sebenarnya tidak menjangka di dalam kesibukan menghadapi PRK Permatang Pauh sahabat di Pulau Pinang dapat melayan saya dengan baik sekali. Terima kasih dan hanya Allah sahaja yang akan membalasnya. Mungkin saya tidak mampu untuk melayan mereka sebaik ini sekiranya mereka berkunjung ke Kelantan. Belum cuba belum tahu…

TINGGAL 2 HARI LAGI…

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Bahang kepanasan pilihanraya semakin terasa dengan masa yang tinggal 2 hari lagi untuk mengundi.  Kempen yang aggresif dari kedua-dua pihak di lihat semakin meningkat.  Tindakan terdesak di lihat dilakukan oleh kepimpinan tertinggi UMNO bermula dengan sumpah saiful diikuti oleh sumpah Dato Najib tidak mengenali altantuya kemudian terbaru sumpah oleh Dato Tajol Rosli mengenai ketidakterlibatan beliau mengenai exco Perak yang di tahan BPR dan akan di dakwa pada hari Isnin.

Tidak cukup dengan pemimpin politik yang terlibat untuk menjelaskan segala isu yang berlegar di Permatang Pauh.  Terbaru semalam saya melihat TV yang melibatkan Duta Malaysia ke Monggolia.  Penjelasan yang diberikan oleh beliau ada yang saya boleh terima dan ada jugak saya tidak boleh terima. Mungkin selepas ini Duta tersebut akan naik pangkat sebagaimana mereka yang telah berkonspirasi untuk menjatuhkan DSAI sepuluh tahun dulu. Semua peranan utama telah menerima ganjaran masing-masing hari ini.

Malam ini YAB Tok Guru MB Kelantan dijadualkan akan mengadakan Munajat Perdana di Permatang Pauh. Semoga munajat ini sekali lagi akan membabaskan segala perancangan dan perbuatan jahat yang telah,sedang dan akan diatur untuk mengalahkan kebangkitan rakyat. Didoakan juga Allah akan memberikan pertolongan yang besar kepada perjuangan untuk menegakkan keadilan di Malaysia ini.

SANDIWARA TELAH BERMULA

5 Komen

Salam perjuangan,

Kempen pilihanraya kecil permatang pauh dimulakan dengan sumpah oleh anak muda yang mengaku di liwat oleh DSAI secara terpaksa.  Majlis bersumpah itu diadakan di Masjid Wilayah dan dirakamkan oleh media perdana.  Sehingga kini rakaman itu dimainkan setiap malam untuk mengingatkan rakyat supaya tidak lupa kepada isu liwat.  Kemudian diulang tayang pula majlis MOU di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia mengenai pendaftaran 20 buah sekolah YIK.  Ini pada hemat saya untuk memberitahu umum bahawa PAS sudah mula berbaik dengan UMNO sehingga sanggup mendaftarkan sekolah YIK.

Tinjauan saya semasa proses penamaan calon amat jelas bahawa rakyat tidak termakan dengan isu sumpah Saiful Bahri. Apa yang saya nampak ialah kehinaan yang menimpa petugas BN dengan ejekan oleh petugas PR.  Duit yang diikat pada sebatang kayu melambangkan penggunaan duit yang banyak untuk memancing undi rakyat oleh parti BN.  Cerita mengenai petugas media yang di pukul oleh penyokong PR tidak pula saya kedengaran namun disiarkan dalam TV hampir setiap malam dengan amaran demi amaran diberikan oleh pihak polis supaya keganasan tidak berterusan tetapi cerita Dato Hishamudin memeluk dan mencium seorang guru besar adalah cerita benar yang disampaikan oleh kawan saya yang menyaksikan dengan matanya sendiri tidak pula disiarkan oleh media perdana.

Gambar Hiasan (Gelagat penyokong UMNO yg ‘melakonkan’ aksi liwat.. alangkah biadapnya mereka)

Di sebalik kebangkitan rakyat ini masih terselit juga keresahan yang melanda hati ini dengan pelbagai isu dalaman yang berbangkit. Diharapkan pimpinan dapat menyelesaikan isu ini dengan baik. Apapun diharapkan proses pengundian PRK Permatang Pauh akan berjalan dengan lancar dan DSAI akan dapat melangkah ke parlimen secepat mungkin sekaligus menakluki Putrajaya menjelang 16 september 2008.

Gambar Hiasan (Satu lagi gelagat biadap puteri UMNO )

fitnah dan konspirasi angkara siapa ?

1 Komen

Salam perjuangan,

Saya baru saja pulang dari menghadiri ceramah perdana di PUTIK yang menampilkan tokoh utama Pakatan Rakyat iaitu YAB Tg Hj Nik Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan, DSAI, YB Dato Husam Musa, YB Saifudin Nasution. Kehadiran terlalu amat ramai berbanding ceramah UMNO di Melor malam kelmarin dengan penceramah utamanya ialah Ezam Mohd Noor.

Apa yang menarik perhatian saya ialah ulasan yang mantap dari kesemua penceramah menyebabkan kita dapat memahami suasana semasa dengan cepat dan betul. Mengapa DSAI diletakkan di dalam rumah duta besar turki selama 2 hari selepas laporan polis di buat terhadap DSAI mengenai kes liwat. Tujuannya ialah menjaga keselamatan diri DSAI dari diperlakukan semula seperti tahun 1998 kerana bagi YB Saifudin jalan ceritanya hampir sama dengan sandiwara 1998 hanya berbeza ialah pelakon sedangkan pengarah dan krew lain adalah orang yang sama.

Penyebaran berita yang belum jelas betul atau tidak adalah amat di larang oleh agama Islam. Pemberita di ingatkan supaya menulis berita yang benar jika takutkan azab Allah nanti. YB Dato Husam menegaskan bagaimana sampai 9 kali di liwat barulah sdr saiful membuat laporan polis ? Manakala pada masa yang sama DSAI berharap YB Speaker Dewan Rakyat akan mengizinkan usul undi tidak percaya kepada PM akan di terima dan di bahas di parlimen. Ahli parlimen dari SAPP telah menyatakan kesanggupan untuk menyokong usul tersebut. Selain itu DSAI menegaskan sekali lagi bahawa jika PR memerintah maka keesokkan harinya kerajaan baru akan mengumumkan penurunan harga minyak.

YAB Tok Guru pula mengharapkan DSAI akan bersabar dalam isu yang dihadapi ini dengan tenang. Mudahan peristiwa yang menimpa Nabi Yusof akan berulang dengan pengakuan beramai-ramai adik beradiknya apabila mengetahui bahawa Nabi Yusof telah di lantik menjadi seorang menteri pada masa tersebut. Peristiwa itu memakan masa lebih kurang 40 tahun. Tok Guru yakin pengulangan itu insyaallah akan berlaku. Tok guru juga mengingatkan bahawa apabila ada 2 kumpulan yang berebut negeri untuk memerintah maka sudah tentu antara kedua itu hanya ada satu kumpulan yang benar. Kumpulan yang mengikut ciri-ciri kumpulan yang ditentukan oleh Nabi SAW lah yang lebih betul.

Apa yang nyata mengecewakan sedikit para pendengar ialah ucapan DSAI yang terlalu pendek iaitu 30 minit sedangkan ceramah ini dianjurkan untuk memberikan penjelasan tentang isu liwat dan isu semasa yang cukup hangat sekarang. Ceramah perdana malam ini berhenti lebih awal 30 min dari biasa. Namun kenderaan hanya bergerak lancar selepas pukul 12.30 malam.

TUDUHAN LIWAT BUKTI KEKUATAN PR

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Di saat dunia memberikan tumpuan kepada piala EURO 2008 di mana malam ini adalah kemuncak kepada kuasa bolasepak di mana pasukan German akan bertemu Sepanyol dalam menentukan siapa juara.  Saya kira semua peminat bola akan sanggup berjaga malam untuk menyaksikan siaran langsung di TV3 atau NTV7. Suasana politik negara dipanaskan dengan berita laporan polis yang di buat oleh pembantu khas DSAI bahawa beliau di liwat oleh DSAI di damansara. Apa yang menariknya Datin Wan Azizah mendedahkan dalam sidang akhbar terbaru bahawa gambar pengadu kes DSAI iaitu Saiful Bukhari Azlan itu di lihat bersama dengan pegawai khas TPM iaitu Khairil Anas Yusof. Saya juga dimaklumkan bahawa pembantu khas DSAI didapati tidak hadir ke pejabat beberapa hari sebelum di lihat membuat laporan polis terhadap DSAI. Mungkinkah ini satu konspirasi yang terancang oleh pihak yang merasa terancam dengan bukti-bukti konspirasi menjatuhkan DSAI pada tahun 1998-99 dulu yang diperolehi oleh DSAI sendiri.

Bagi saya tuduhan kepada DSAI adalah satu bukti kukuh bahawa ketakutan BN khasnya UMNO terhadap pengaruh Anwar dalam mengharungi perjalanan menawan Putrajaya. Isu yang sama juga digunakan untuk menjatuhkan Anwar ketika gelombang kebangkitan beliau pada tahun 1998 dulu. Inilah pentingnya kekuasan. Jika kita mempunyai kuasa maka kita boleh mengatur apa yang kita kehendaki dengan pelbagai alasan yang boleh di reka.

BN sekali lagi menerima tamparan hebat dengan perletakan jawatan ketua pemuda MIC dan sekaligus mengumumkan keluar MIC. Manakala Presiden dan Timbalan Presiden MCA mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan mereka berdua. Gerakan pula sudah kehilangan kepercayaan ahli dengan pengumuman ahlinya yang keluar beramai-ramai menyertai keadilan baru-baru ini. Di tambah lagi luka BN dengan pengumuman SAPP yang hilang kepercayaan kepada PM. Semuanya ini menggambarkan kedudukan BN yang semakin goyang. Di sebalik tabir suasana yang dihadapi BN ini adalah dilihat pengaruh dan kewibawaan DSAI. Maka adalah dijangka jika sesuatu tidak dilakukan untuk menghalang laluan selesa ke Putrajaya maka tidak mustahil PR akan dapat mencapai cita-citanya.

Inilah suasana politik yang kotor selagi mana kita tidak mendaulatkan Islam. Pemimpin yang berkuasa akan mempertahankan kuasanya walau apa cara sekalipun. Berlainan dengan Islam, sesiapa yang paling bertaqwa adalah yang paling layak memimpin. Maka satu sahaja cara untuk menangani kemelut yang dihadapi oleh rakyat ialah dengan kita semua kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada semua perkara.

Gegaran Politik Mahathir Keluar UMNO

Tinggalkan komen

Salam perjuangan

Saya telah menerima satu pesanan ringkas petang kelmarin yang menyatakan bahawa Tun Dr Mahathir telah mengisytiharkan keluar dari UMNO dalam himpunan orang Melayu di Alor Setar Kedah. Saya di antara percaya atau tidak dengan berita itu pada mulanya. Namun maklumat itu akhirnya disahkan di media massa dan juga di laman blog. Inilah gegaran terbaru negara setelah negara dikatakan mengalami beberapa gegaran ringan di ibu negara. Pelbagai komen yang positif dan negatif mula kedengaran terhadap tindakan Tun Dr M yang sanggup keluar dari UMNO hasil tidak yakin kepada kepimpinan Pak lah.

Saya bersetuju dengan pandangan yang diberikan oleh Presiden PAS Dato Seri TG Hj Abdul Hadi Awang bahawa tindakan Dr M ini menunjukkan bahawa isu dalaman UMNO yang cukup parah sekaligus memperkuatkan lagi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO sudah tidak relevan untuk menjadi parti yang menunjangi kaum melayu di Malaysia. Rakyat seharusnya boleh berfikir dengan matang dan jujur dalam menilai isu terkini yang sedang melanda negara.

Setelah seminggu UMNO menyambut ulangtahun ke 62, saya telah memberikan komen bahawa UMNO sudah tidak relevan kepada persada politik tanahair. Tindakan Dr M ini memperkukuhkan komen yang saya buat dalam artikel sebelum ini. Sebenarnya UMNO sedang menunggu masa yang sesuai untuk dikuburkan tanpa nisan dan diarkibkan dalam muzium sebagai sebahagian salah satu bahan sejarah yang berlaku dalam negara Malaysia tercinta. Saya harap kenyataan saya ini tidaklah satu kenyataan yang keterlaluan tetapi itulah analisa yang sesuai diberikan kepada UMNO dalam detik-detik terakhir riwayat UMNO dipersada politik tanahair.

Pagi ini pula saya menerima pesanan ringkas bahawa rakyat di Ibu negara sedang menunggu masa untuk berlarak ke putrajaya untuk “mengambil alih kuasa ” oleh pakatan rakyat. Tindakan Dr M ini sebenarnya mempercepatkan lagi kenyataan dari penasihat parti keadilan rakyat DSAI bahawa selewat-lewatnya bulan September tahun ini kerajaan Malaysia akan bertukar tangan dari BN kepada PR. Inilah nasib yang menimpa UMNO di mana hampir ke semua Presiden UMNO menghabiskan sisa-sisa hidupnya di luar dari UMNO. Apakah peristiwa ini tidak boleh menyedarkan lagi sebahagian besar rakyat bahawa UMNO memang tidak relevan lagi kepada orang Melayu. Hanya Islam yang mampu menyelamat dan membimbing semua kaum yang ada di Malaysia untuk meneruskan memacu pertumbuhan negara untuk pada masa depan. Marilah kita sama-sama menyakini bahawa masa depan Islam di Malaysia cukup terbuka luas dan sedang menanti masa PAS keluar dari kepompongnya untuk memimpin massa dengan pendekatan yang lebih pro aktif dan menjadi duta penyelamat dan kasih sayang kepada semua golongan masyarakat di Malaysia.

p/s : Menunggu masa yang sesuai untuk menerajui kepimpinan negara

Pakatan Rakyat Perintah Malaysia???

2 Komen

Salam perjuangan,

Isu sensasi yang kini menghantui kerajaan BN ialah apakah pengumuman yang di buat oleh penasihat PKR bahawa PR bersedia untuk mengambilalih kepimpinan negara selewat-lewatnya september ini sekaligus menjadi Paklah sebagai ketua pembangkang negara yang baru. Bunyinya agak melucukan namun amaran yang terkini supaya kenyataan ini tidak dipandang sepi oleh parti BN datangnya dari mantan Presiden dan juga PM sendiri. Kuli sendiri juga telah mengingatkan perkara yang serupa bahawa peralihan kuasa tidak mustahil akan berlaku jika BN tidak berbuat sesuatu.

Saya sendiri rasa berbelah bahagi antara percaya atau tidak selepas DSAI tidak menunaikan janjinya untuk membuat pengumuman yang penting dalam masa 14 hari selepas tamat tempoh tahanan politiknya. Janji politik tersebut yang diulas secara meluas oleh kepimpinan PKR tetapi tidak ditunaikan oleh Penasihatnya. Walaupun mungkin ianya satu muslihat atau strategi politik namun kata orang terlajak perahu boleh di undur tetapi terlajak kata buruk padahnya. Saya bimbang kredibiliti DSAI akan tecalar sekali lagi dengan isu sensasi ini. Di mana pada waktu DSAI sekali lagi mengumumkan perkara besar maka rakyat akan mentertawakan beliau yang hanya pandai mencipta gimik sedangkan perkara sebenarnya tidak ke mana.

Pada masa yang sama, saya menaruh kepercayaan kepada pucuk pimpinan PAS untuk membuat keputusan yang terbaik demi masa depan perjuangan dalam menangani isu sensasi ini. Saya mendapat panggilan telepon dari salah seorang pimpinan tertinggi parti yang mengatakan parti terpaksa mengadakan mesyuarat tergempar berbincang isu memerintah negara bersama dalam pakatan rakyat. Walaupun kata-kata pemimpin tersebut kepada saya kedengaran seperti bergurau tetapi hati kecil saya dapat merasakan bahawa isu ini sedang ditangani dengan serius oleh kepimpinan parti. Saya sentiasa berdoa moga Allah memberikan natijah yang terbaik kepada orang-orang yang telah mewakafkan diri mereka untuk menyambung perjuangan yang di bawa oleh Nabi SAW.

Hari ini Paklah sekali lagi terpaksa tunduk kepada desakan kesatuan sekerja (CUEPACS) dengan mengumumkan beberapa insentif baru untuk golongan pekerja. Apa yang dijangkakan bahawa Paklah bersetuju menambah umur bersara kepada 58 tahun. Inilah kesannya jika kerajaan yang lemah memerintah di mana kerajaan terpaksa tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu demi menarik sokongan pekerja kepada kerajaan yang memerintah. Fenomena ini tentunya menguntungkan golongan pekerja yang telah sekian lama tertindas. Bagi menunjukkan kecekapan kerajaan maka pihak polis telahpun mengambil keterangan YB Karpal singh atas laporan menghina institusi di raja Perak dan Kelantan. Kecekapan tindakan ini seperti tindakan segera yang dilaporkan ke atas MB Selangor dan Pemimpin Utama PKR semasa mengadakan juga himpunan black 14 yang di dakwa tanpa permit. Dalam masa yang sama laporan yang di buat oleh pelbagai peringkat parti pembangkang kepada pihak kerajaan tidak secekap itu. Laporan rasuah yang diumumkan berprofail tinggi pun belum diumumkan lagi sepenuhnya baru 2 kes yang dibersihkan melalui mahkamah masih lagi berbaki 16 kes. Dimana kecekapan pihak yang berkuasa dalam hal ini ???

Fenomena di atas sudah cukup membuktikan bahawa kerajaan BN yang memerintah gagal melaksanakan amanah pemerintahan dengan jujur dan penuh amanah. Oleh itu, amat wajar sekali tampuk pemerintahan negara bertukar tangan untuk memberi peluang kepada mereka yang adil, beramanah dan jujur untuk menyumbangkan bakti mereka kepada negara dan rakyat Malaysia yang tercinta.

p/s : Tak sabar menunggu impian jadi kenyataan…

14 APRIL – HARI INI DALAM SEJARAH

1 Komen

SALAM PERJUANGAN..

Tanggal 14 April 2008 telah terpatri sebagai satu sejarah bagi rakyat Malaysia di mana ada dua peristiwa besar yang berlaku dalam negara. Malangnya saya sendiri tidak berkesempatan untuk berada di salah satu tempat yang berkenaan untuk turut dimasukkan dalam sejarah tersebut. Namun cukuplah bagi saya mengetahuinya melalui bicara sahabat, laporan media dan para bloggers. Peristiwa yang bersejarah yang saya maksudkan ialah :-

Pertama,

Ceramah 5 MB di Stadium Negeri Perak sempena Seminar semua ADUN dan ADR Pakatan Rakyat di Negeri Perak di mana dihadiri oleh lebih 70,000 rakyat. Majlis yang bermula dengan solat. Ucapan para pimpinan diiringi Laungan takbir, reformasi dan makkal sakhti bergema di pelusuk stadium. Selama ini stadium itu hanya dipenuhi dengan peminat-peminat bola sepak dengan sorakan “kejo yop kejo”. 5 pemimpin yang mewakili 5 negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat. Pemimpin tersebut antaranya, Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa mewakili Besar Kelantan; Menteri Besar Kedah, Ust Azizan Abdul Razak; Menteri Besar Perak, Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Hasan Ali yang mewakili Menteri Besar Selangor dan Ketua Pemuda DAP Pusat, Nga Hor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping yang mewakili Ketua Menteri Pulau Pinang. Pelbagai amanat dan isu terkini disampaikan oleh kelima-lima pemimpin untuk pengetahuan rakyat sekalian.

YB Dato Husam menggantikan Tok Guru MB

Kedua,

Himpunan Black 14 yang dihadiri oleh pemimpin reformasi di kg baru sempena pembebasan secara mutlak larangan ke atas DSAI dari memegang jawatan politik. Kehadiran melebihi 20,000 rakyat memenuhi kawasan persendirian MB Selangor sebagai tanda sokongan kepada DSAI. Sekaligus memita semua pihak khasnya UMNO jangan memandang mudah terhadap pengaruh DSAI di persada politik tanahair. Perhimpunan aman turut diganggu oleh polis dengan alasan tiada permit. Inilah demokrasi ala UMNO. Semasa pemimpin UMNO mengadakan perhimpunan membantah DEB di Pulau Pinang, membantah DAP di Perak dan Menuntut Idris di lantik MB Trengganu, pihak polis dengan senyum manis melihat perhimpunan tersebut sehingga selesai.

Bagi saya, sejarah yang berlaku tetap akan dikenang zaman-berzaman. Bertuahlah sesiapa yang berada di salah satu tempat yang bersejarah tersebut. Saya sedang menunggu satu lagi sejarah yang akan dinobatkan ialah sidang parlimen dengan kehadiran ADR Pakatan Rakyat yang ramai setelah 50 tahun negara merdeka. Sidang Parlimen yang akan bermula 28 april dengan acara angkat sumpah ADR dan bermula sidang sepenuhnya ialah 30 april. Saya telah merancang dengan beberapa orang sahabat untuk sama-sama mencipta sejarah di parlimen tersebut. Insyaallah.

p/s : Sejarah yang ditunggu-tunggu ialah PR akan memerintah negara tak lama lagi. Insyaallah..

Newer Entries