KICKDEFELLA DI TAHAN POLIS

1 Komen

Salam perjuangan,

Saya menerima panggilan telefon dari seorang sahabat mengatakan bahawa pengendali blog kickdefella telah di tahan polis kira-kira jam 6 petang di ruahnya atas sebab-sebab yang belum diketahui. Saya kira penahanannya melengkapkan senarai 15 orang tahanan ISA yang akan diumumkan oleh YB Salehudin Ayub semasa sidang akhbarnya baru-baru ini. Penahanan di bulan ramadhan yang mulia ini sebenarnya menggambarkan UMNO tidak sensitif agama.

Inilah padahnya melantik pemimpin yang salah guna kuasa untuk memerintah Malaysia. Saya mengharapkan sekali lagi kepada pemimpin PAS yang masih bercita-cita untuk kembali bersama UMNO harus melihat isu ini secara serius. Jika UMNO sanggup menggunakan apa saja cara untuk memastikan kelompok mereka terus memerintah maka apalah yang diharapkan oleh PAS untuk UMNO melaksanakan Islam walaupun mereka berbangsa Melayu dan beragama Islam. Jika UMNO bersungguh untuk melaksanakan Islam maka sudah lama sepatutnya Islam didaulatkan di bumi Malaysia yang tercinta ini. Kerana adanya UMNOlah maka Islam tidak dapat ditonjolkan sebagai agama yang benar, adil dan sesuai untuk semua bangsa dan kaum di Malaysia.
Sama-samalah kita mendoakan semoga kickdefella akan dibebaskan segera.

Terkini

Alhamdulillah, doa kita telah di terima. Kick telah dibebaskan setelah beberapa hari di tahan.  Walaupun tempat pembebasan tidak sama dengan tempat penahanan itu pun di kira ok. Nasib baik tidak dilepaskan diluar negara. Nasib hanya di tuduh di bawah akta hasutan dan tidak di tahan di bawah ISA

APABILA PEMIMPIN MULA HILANG RASA

1 Komen

Salam perjuangan,

Bersua lagi dalam suasana negara yang kian panas dengan pelbagai isu yang menarik perhatian rakyat Malaysia khasnya dan dunia amnya. Saya menamakan tajuk artikel saya seperti di atas kerana bagi saya perasaan seseorang pemimpin mampu untuk memandu pemimpin tersebut ke arah jalan yang betul.

Ada dua isu yang menyentuh hati saya ialah kes penderitaan rakyat akibat dari kenaikan harga minyak secara mendadak dan terlampau tinggi. Sudahlah rakyat yang menanggung derita tersebut malah mereka pula di halang untuk memperjuangkan hak mereka bagi menuntut penurunan harga petrol dengan pelbagai alasan. Pemimpin yang di atas yang mempunyai pelbagai kemudahan yang dibayar oleh kerajaan tidak akan mengetahui susah jerih rakyat yang di bawah. Kalau saya ingin bertanya kepada pemimpin negara bila mereka turun membeli sendiri barang keperluan dapor untuk makanan keluarga mereka ?, bila mereka membayar sendiri minyak petrol yang di beli di stesen minyak? Jawapannya sudah tentu tidak pernah. Apabila mereka celik mata dari tidur makanan sudah terhidang di atas meja yang disediakan oleh tukang masak yang dibayar oleh kerajaan, apabila mereka ingin ke tempat kerja maka kereta sudah tersedia dengan minyak penuh yang telah di isi oleh drebar yang di bayar oleh kerajaan. Semua ini dan banyak lagi kemudahan yang disediakan atas nama pemimpin negara menyebabkan mereka semua mulai hilang perasaan untuk merasai penderitaan rakyat bawahan yang hidupnya kais pagi makan pagi. Apabila rakyat ingin berkumpul menyatakan haknya mereka di halang oleh polis,askar, sekatan jalanraya, dll. Penganjur PROTES terpaksa berpindah tempat sekali lagi dari padang petaling jaya ke stadium MPPJ Kelana jaya.

Isu kedua yang menyayat hati saya ialah kematian adik ainul mardhiah anak kepada tahanan ISA yang memasuki tempoh 7 tahun. Berita mengenainya boleh dibaca dalam harakahdaily. Anak yang pada mula sedang nazak menunggu kehadiran bapanya yang dijadual tiba jam 5-6 petang namun akhirnya kembali ke rahmatullah sebelum sempat menerima kunjungan bapa yang hanya tiba di rumah jirannya jam 9.40 malam tersebut selama sejam. Keesokan harinya hanya dibenarkan menghadiri pengkebumian anaknya selama sejam. Inilah hakikatnya apabila pemimpin mula hilang perasaan maka walaupun anak berhadapan dengan maut namun tidak menimbulkan perasaan belas kasihan di dalam hati pemimpin negara untuk mempercepatkan proses pertemuan di antara bapa dan anak yang telah berpisah selama 7 tahun tanpa sebab. Apa kata jika anak pemimpin negara juga akan berdepan dengan suasana ini sudah tentu media akan memuatkan muka depan. Kesedihan, kepiluan dan kerinduan semuanya terjawab melalui linangan airmata keluarga yang tidak mampu di tahan malah seluruh hadirin juga turut merasai empati dengan keadaan yang dihadapi oleh keluarga malang tersebut. Tanpa sebarang kesalahan yang di dakwa tetapi di kurung dan di tahan ISA selama 7 tahun. Bukankah ini satu kekejaman dan kezaliman terhadap rakyat yang merdeka.???

p/s : Salam takziah buat keluarga ainul mardhiah. Semoga kesabaran itu akan di balas dengan balasan yang setimpal.

SALAM TAKZIAH

Tinggalkan komen

Saya dan seluruh kepimpinan Dewan Pemuda PAS Kubang Kerian mengucapkan salam takziah kepada YB Datuk Mustapha Mohamad di atas kembalinya Allahyarham ayahnda beliau ke rahmatullah pada pagi 11 Mei 2008. Perpisahan ini mungkin meninggalkan rasa sedih kepada YB, begitulah juga perasaan yang dialami oleh isteri dan anak-anak yang tidak berdosa akibat ditinggalkan suami yang dikenakan hukuman ISA. Mungkin lebih derita….

Daripada Cikgu Nuri dan DPPKKK

BEBASKAN TAHANAN ISA

1 Komen

Salam perjuangan

SURAT TERBUKA BUAT PAKLAH

Paklah saya merayu supaya bebaskan tahanan ISA khasnya yang telah 6 tahun di tahan. Bebaskan mereka atau bicarakan mereka di mahkamah terbuka. Apalah dosa mereka ? Apalah dosa isteri dan anak-anak mereka ? Apakah yang kamu ingin tunjukkan dengan melanjutkan tempoh tahanan mereka ? Adakah kamu akan beranggapan bahawa ahli UMNO akan melihat kamu lebih keras dan tegas dari Dr M ? Sebenarnya kamu silap jika berpandangan begitu. Rakyat akan melihat kamu lebih ZALIM ya lebih ZALIM dari Dr M yang pernah dipanggil Maha Firaun. Jadi adakah kamu mahu di panggil apa oleh rakyat selepas ini sekiranya kamu enggan merasai kepedihan, kesengsaraan dan penderitaan yang dialami oleh isteri dan anak-anak mangsa kezaliman akta jakun yang kamu pertahankan itu. Apakah kamu mahu mencipta rekod menahan orang yang tidak berdosa lebih lama dari Dr M lakukan ?

Paklah saya kira kamu agak kelam kabut apabila kehilangan arwah Endon dulu. Kehilangan yang sementara itu pun kamu dah boleh rasai kekosongan hidup tanpa seseorang di sisi. Ini pula kehilangan yang bertahun-tahun tentu lebih derita. Apakah kamu tidak berfikir tentang perkara ini ? Sedarlah paklah, bebaskan mereka demi keadilan dan nama baik cucu ulama. Jika kamu mahukan kemasyhuran lebih dari Dr M maka apa yang patut kamu lakukan ialah kamu menghapuskan terus undang-undang JAKUN yang telah digubal pada tahun 1960 lagi. Ia telah menahan seramai 10, 711 orang yang tidak berdosa. Kini masih terdapat 70 orang yang tidak berdosa yang masih kamu tahan termasuklah yang telah melebihi 6 tahun tempoh penahanan.

Paklah sementara kamu masih berkuasa sebagai PM dan Presiden UMNO sebelum bulan Disember ini, saya mengharapkan kamu akan berbuat sesuatu untuk membebaskan orang yang tidak berdosa dan menghapuskan secara total undang-undang ISA yang JAKUN. Tindakan ini saya kira dapat membantu untuk mempopularkan semula nama Paklah di pandangan mata rakyat setelah tercalar teruk pada PRU 12 baru-baru ini. Insaf dan bertaubatlah sebelum Allah menjemput kamu kerana dari segi agama ianya satu perbuatan yang zalim yang sudah tentu menempah kemurkaan Allah dan pasti balasannya cukup dahsyat. Saya kira kamu lebih arif tentang soal dosa pahala dan syurga neraka kerana kamu adalah cucu ulama yang tersohor di Pulau Pinang.

Paklah, saya sering menitiskan air mata apabila terkenang penderitaan Isteri tahanan sehingga ada di kalangan mereka yang terpaksa mengutip dan menjual besi buruk demi sesuap nasi sedangkan kamu bermewah-mewah dengan wang rakyat, kamu agihkan projek kepada anak beranak dan kroni kamu. Duit rakyat tidak dikembalikan untuk membantu rakyat yang susah dan menderita begini tetapi sebaliknya berligar di poket anak beranak dan kroni. Pemimpin manakah yang kamu ambik sebagai contoh dan idola kamu dalam meneruskan pemerintahan negara. Jika KM PP berani menyebut untuk meniru Khalifah Umar Abd Aziz dalam pemerintahannya maka alangkah malunya kamu jika kamu memerintah tanpa merujuk kepada mana-mana khalifah Islam sebagai panduan kamu. Saya kira cukuplah rayuan dan surat terbuka saya kepada Paklah sebagai sebahagian dari tanggungjawab saya yang sentiasa tersentuh dengan penderitaan tahanan ISA dan keluarga mereka. Surat terbuka ini adalah sebagai suara bantahan saya terhadap undang-undang Zalim.

BEBASKAN TAHANAN ISA ! BEBASKAN TAHANAN ISA ! BEBASKAN TAHANAN ISA !

Yang menurut perintah

MOHAMAD NURI MAT YAACOB – Ketua DPPKKK

PERKASAKAN PAKATAN RAKYAT (PR)

Tinggalkan komen

Salam perjuangan !

Penubuhan pakatan rakyat (PR) adalah manifestasi dari suara rakyat yang mahukan sebuah negara yang adil, beramanah dan berkebajikan. Maka, saya mengharapkan kepada semua pimpinan parti yang terlibat mestilah menyegerakan penubuhan PR tersebut. Penubuhan PR adalah satu perkara besar dan serius maka apabila sudah ada persefahaman mengenai keperluan mewujudkan PR maka pimpinan mestilah serius dan di lihat serius untuk merealisasikan kewujudan PR dengan keadaan lebih perkasa dan tersusun. Jika timbul sebarang isu dan kekeliruan hendaklah diselesaikan di meja rundingan, elakkan dari membuat kenyataan di media massa kerana kita semua tahu bagaimana amalan media massa di Malaysia.

Kita tidak mahu melihat PR akan menjadi seperti BN yang sudah mula kelihatan goyah di penghujung usia mereka. Kita melihat parti komponen BN sudah hilang perasaan kekitaan sehingga ada di kalangan mereka yang membuat kenyataan sehingga mengguriskan perasaan kekawan yang lain. Rasa hormat menghormati sudah mula pudar di kalangan komponen BN. Memaksa Paklah membebaskan tahanan ISA adalah satu isu yang sinonim dengan PR. Dato Samy baru hendak berjuang sedangkan PAS, GMI dan NGO yang lain telah lama mengemukakan usul dan surat kepada PM supaya membebaskan tahanan yang dizalimi sehingga ada yang telah melebihi masa 6 tahun. Kita mengalu-alukan penggabungan MIC dalam isu ISA bersama PR untuk kita pastikan tiada lagi amalan ISA di Malaysia selepas 50 tahun merdeka dan sedang memasuki fasa kedua 50 tahun akan datang.

Saya juga ingin mencadangkan kepada PR yang akan ditubuhkan secara rasmi nanti selain dari tawaran penggabungan kepada mana-mana parti untuk menubuhkan Kerajaan Baru Malaysia, kita juga harus membuat tawaran untuk bergabung dalam ISU yang dibenarkan kita bergabung contohnya isu kezaliman ISA, Isu DADAH, Gejala Sosial, dll. Pembinaan jambatan hubungan mungkin boleh bermula melalui isu bersama sebelum melangkah lebih jauh untuk melihat sebuah Negara Rakyat Malaysia terbentuk.

Apa pun, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada rakyat Malaysia di atas keberanian untuk berubah dan sekaligus memaksa sebuah Pakatan Rakyat ditubuhkan satu perkara yang saya tidak jangkakan akan berlaku secepat ini. Tahniah dan terima kasih. Kepada semua parti yang telah memenangi dan membentuk kerajaan samada di Pusat atau di negeri, saya ingin mengingatkan supaya marilah sama-sama pastikan segala janji kita dalam PRU yang lepas dapat dilaksanakan sebaik mungkin. JIka tidak, saya kira rakyat Malaysia lebih cerdik dan tahu bagaimana untuk mengajar parti politik yang mungkir janji dalam PRU ke 13 nanti. Terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata maka buruklah padahnya. Marilah kita meneruskan amalan bermunajat supaya Allah memberikan kekuatan kepada pimpinan kita untuk terus memimpin dengan penuh amanah dan dapat merealisasikan janji mereka dengan sempurna.

Aamin.

ISA :- SATU KEZALIMAN TERANCANG

Tinggalkan komen

Assalamualaikum..

Baru-baru ini, saya telah dihubungi oleh seorang sahabat yang menceritakan ada sebuah blog yang sedang memburukkan nama institusi PASTI dan juga nama saya yang dikaitkan secara peribadi. Mulanya agak hairan juga, kenapa sampai begitu sekali, lama juga saya berfikir. Namun, akhirnya saya percaya inilah kebebasan media yang ada dan kita bebas meluahkan apa saja. Bagi saya, dari menjawab isu yang sengaja ditimbulkan itu, ada baiknya dibicarakan isu yang lebih besar yang melibatkan masalah ummah. Saya menganggapkan blog tersebut ibarat batu kerikil di jalanan, memperjuangkan kebenaran dan keadilan itu lebih penting setelah kita yakin dengan perjuangan ini. Sesetengahnya, ada yang perlu di ambil tahu dan begitu juga sebaliknya. Terkadang, makin di layan, semakin teruk suasana yang bakal timbul.

isa.jpg

ISA (Internal Security Act)

Isu besar yang saya maksudkan ialah ISA. Dimana ianya telah digunakan oleh pihak kerajaan UMNO dari dulu lagi untuk menyelesaikan masalah penentang terhadap dasar-dasarnya. Seperti juga pendirian pimpinan yang lain, saya mengutuk keras penggunaan ISA kerana ianya menyalahi hak asasi manusia dan juga bertentangan dengan prinsip Islam itu sendiri. Setiap yang bersalah harus dihadapkan ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan secara adil dan dibuktikan di mahkamah bahawa mereka bersalah barulah boleh dipenjarakan atau di tahan. Islam sendiri telah mengajar kita bahawa setiap yang bersalah mestilah dibuktikan bersalah barulah boleh dijatuhkan hukuman yang setimpal.

Ia telah mencengkam, menghantui dan menghancurkan kehidupan rakyat yang ingin mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin yang kotor. Bahang undang undang yang kejam ini sentiasa dirasai kerana penahanan tanpa bicara di dalam mahkamah, tanpa bukti yang kukuh dan tanpa memerlukan syarat yang nyata amatlah lumrah sekali. Mangsanya boleh ditahan untuk selama-lamanya mengikut selera dan nafsu diktator yang sanggup mengorbankan kedaulatan rakyat dan melelongkan demokrasi, keadilan dan kebebasan. Pemimpin-pemimpin ini sudah terperangkap ke dalam neraka jahanam dan sanggup mempertuhankan keganasan yang mengekalkan kuasa, harta dan pengaruh.

SUATU PENGKHIANATAN

Sebenarnya pucuk pimpinan politik adalah ahli kepada kapitalis tempatan dan antarabangsa. Kesetiaan inilah yang menyebabkan yang kaya menjadi kaya raya dan miskin menjadi papa kedana. Pemimpin-pemimpin politik ini sanggup mengkhianati Perlembagaan Negara yang berasaskan kepada keadilan yang luhur dan tidak segan silu menghina kehakiman. Sepatutnya tugas kehakiman adalah untuk mengimbangkan kuasa atau membetulkan ketidakadilan yang berlaku di dalam masyarakat. Malangnya keyakinan rakyat terhadap dunia kehakiman di dalam negara sudah makin pudar. Apa yang sudah berlaku adalah pemerintah sudah ketandusan ikhtiar dan berpaut kepada kuasa ISA untuk menghalalkan pentadbirannya, mengugut rakyat, menguasai minda dan ragam hidup rakyat. Pendekkata pemimpin politik negara sudah takut dengan bayang-bayang sendiri dan cuba menghancurkan naluri kemanusiaan. Kini mereka sibuk menggunakan ISA untuk menjatuhkan saingan politik masing-masing di dalam dan di luar parti agar dapat mengekalkan kekayaan, pengaruh dan kuasa mereka. Justeru itu mereka sudah mula menghayati sifat penjajah moden.

PRINSIP

Sedangkan prinsip Islam itu sendiri, dimana hukuman yang dikenakan kepada pesalah walaupun tidak didunia tetapi di akhirat kelak tidak akan terlepas sama sekali. Untuk itu juga, PAS telah menawarkan kepada rakyat Malaysia yang cintakan negara bahawa sekiranya memerintah, maka ISA akan dihapuskan sama sekali. Rakyat yang bersalah akan di adili sebaiknya melalui proses undang-undang Islam yang terbukti adil. Kepada rakyat yang mencintai demokrasi, keadilan dan kebebasan, bersatulah pulihkan negara yang tercinta ini dari cengkaman dan serangan diktator dan pemimpin-pemimpin politik yang ganas, keji dan kapitalis itu.

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDIL ADHA

p/s : Setulus ingatan buat mangsa ISA & pimpinan yg ditahan baru-baru ini, saya bersama anda!