MAMPUKAH PR BERTAHAN DENGAN SERANGAN BALAS BN

3 Komen

Salam perjuangan,

Nampaknya setelah hampir masuk setahun selepas PRU 12, UMNO BN kembali menguasai isu politik semasa. Kalau dulu kita melihat UMNO BN seolah-olah berada di pihak yang bertahan dengan serangan bertubi-tubi oleh PR. Kemenangan PR di lima buah negeri dan menafikan majoriti 2/3 BN di Parlimen sesungguhnya telah meletakkan UMNO-BN dalam keadaan tertekan dan terpinga-pinga. Pengisytiharan 16 september sebagai tarikh keramat pertukaran kerajaan Malaysia juga cukup membimbangkan BN.

Sekarang saya melihat seolah-olah PR pula sedang mencari rentak dan terpinga dengan serangan balas UMNO BN bermula dengan merampas Kerajaan PR di Perak melalui lompat parti diikuti dengan ugutan kepada ADUN di Kedah menyebabkan perletakakn jawatan kemudian serangan peribadi kepada ADUN/EXCO di Selangor yang juga telah mengisytiharkan bersedia meletakkan jawatan.

Semua proses di atas bukanlah berlaku secara kebetulan tetapi melalui satu perancangan yang rapi dan cukup strategik. Namun pimpinan PR nampaknya gagal menghidu serangan balas tersebut walaupun sudah banyak teguran yang di buat supaya pimpinan PR memantau dan menyelaraskan pemerintahan di 5 buah negeri serta menjadikan ianya agenda PR yang paling prioriti.  Keinginan dan kehendak untuk memerintah Malaysia lebih cepat nampaknya telah membutakan mata dan memekakkan telinga pimpinan PR  sehingga lalai dengan prioriti yang dicadangkan oleh rakyat.

Sekarang belum terlewat sekiranya pimpinan PR kembali bermuhasabah serta meletakkan semula agenda PR bagi mengembalikan keyakinan rakyat bahawa PR adalah satu-satunya  parti alternatif yang ada kepada rakyat jika sekiranya ingin melihat sebuah negara Malaysia yang lebih harmonis, adil dan bebas rasuah.

Advertisement

STABILKAH UMNO JIKA MEMERINTAH PERAK…

1 Komen

Salam perjuangan,

Drama politik yang berlaku cukup pantas memaksa kita semua untuk sepantas itu juga mempelajari cara menangani dengan baik. Dalam tempoh 10 hari bermula dengan pengumuman ADUN Bota dari BN mengisytiharkan menyertai PKR. Diikuti pula kehilangan dua orang EXCO Perak dari PKR yang terlibat dengan isu rasuah selama 5 hari. Pengumuman Speaker DUN Perak bahawa kedua ADUN tersebut telah meletakkan jawatan diikuti mesyuarat Khas SPR yang kemudiannya menolak untuk mengadakan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering atas alasan surat tidak sah. Drama ini diteruskan lagi dengan pengumuman keluar PKR oleh ADUN tersebut bersama seorang lagi ADUN dari DAP bertindak menjadi ADUN Bebas seolah melengkapkan drama bersiri ini. MB perak kemudiannya mengadap Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan memerintah Perak dengan sah. Dalam masa yang sama TPM mengadakan sidang akhbar mendakwa telah mencukupi majoriti untuk membentuk Kerajaan Perak yang baru. Pagi ini TPM bersama Menteri di JPM telah masuk mengadap Sultan Perak dan kemudiannya memmpengerusikan mesyuarat BN di Perak bersama semua parti komponen BN. Drama bersiri ini belum sempurna jika tiada kesudahannya. Sebagai penonton saya hanya mengharapkan kesudahan yang baik kepada sebuah cerita yang amat mencemaskan ini. Apa yang saya maklum kesudahannya hanya ada tiga kesudahan iaitu 1. Sultan memperkenankan pembubaran DUN Perak sebagaimana permohonan MB Perak. 2. MB Perak meletakkan jawatan. 3. Usul undi tidak percaya dalam sidang DUN akan datang. Sehingga salah satu dari tiga perkara itu tidak berlaku maka Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah memerintah.

Jika ditakdirkan Kerajaan Perak bertukar tangan maka gegak gempitalah seluruh penyokong UMNO memuji Kebijaksanaan bakal PM mereka merampas negeri Perak dari PR dengan cara yang tidak bermaruah. Mungkin ini sudah menjadi amalan UMNO dari dulu,kini dan selamanya. Jika UMNO memerintah Perak adakah semua masalah dalaman UMNO untuk menghadapi sebelum, semasa dan selepas pemilihan UMNO bulan Mac ini akan turut selesai. Adakah UMNO boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa rakyat Perak dan semua rakyat Malaysia sudah bertaubat dan kembali menyokong UMNO dan kepimpinannya untuk terus memerintah. Fikirlah sebaiknya wahai pemimpin UMNO. Pandangan dari Dr Mahathir juga jelas dan jika semua ahli UMNO menerima apa yang pemimpin mereka lakukan tanpa sebarang persoalan maka seolah-olah mereka merertui amalan rasuah dan imej pemimpin yang buruk menjadi pemimpin mereka.

Berita terkini melalui buletin TV3 mengatakan Sultan Perak akan membuat keputusan pada petang ini samada membubarkan DUN Perak atau memperkenankan penubuhan Kerajaan baru Perak dari BN. Sama-samalah kita mendoakan agar Sultan Perak akan membuat keputusan yang sewajarnya dalam menangani isu yang agak konflik juga di Perak tetapi dengan pengalaman Baginda yang pakar dalam undang-undang saya jangka Sultan tidak mudah di beli oleh mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang baik bagi menyudahkan skrip drama yang sudah dimulakan oleh pengarah di sebalik tabir…

Palestin Oh Palestin

2 Komen

Salam perjuangan,

Sesungguhnya di saat pejuang PAS meraikan kemenangan yang sudah dapat di jangka, sahabat kita pejuang HAMAS sedang berhadapan dengan persoalan hidup dan mati. Ayuh kita memperkuatkan doa dan usaha untuk merasai penderitaan yang dialami oleh sahabat kita di bumi Palestine. Tanggal 23 Januari 2009 telah diputuskan oleh pimpinan supaya Demonstrasi besar-besaran diadakan sekali lagi di hadapan kedutaan Amerika yang akan dikepalai oleh Presiden PAS sendiri. Walaupun saya cuba mencadangkan supaya diadakan di hadapan bangunan kedutaan Mesir kerana kegagalan mereka untuk menolong sahabat seagama mereka. Pada malam tersebut di Taman Melewar Kuala Lumpur akan diadakan ceramah besar sempena intifadhah Palestin dan meraikan kemenangan dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan Solat Hajat Perdana dan Kutipan Dana untuk rakyat Palestine dengan target kutipan terkumpul kesemuanya ialah RM 1 juta.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas khasnya dari Pemuda PAS seluruh Kelantan dan Kubang Kerian yang telah bertungkus lumus memastikan calon Pakatan Rakyat dapat memenangi kerusi P.036 dengan selesa.  Kepada semua petugas juga yang bertungkus lumus menjayakan program solat hajat dan kutipan dana Palestine anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dan juga anjuran Parti Islam Se Malaysia PAS.  Semoga semua tindakan ini diharapkan dapat menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita di Malaysia amat terasa keperitan dan kezaliman serta kekejaman yang dihadapi oleh sahabat rakyat Palestine. Mungkin kita juga harus berfikir, inilah kesannya jika Islam tidak didaulatkan sepenuhnya. Adakah sudah sampai masanya Imam Mahadi akan turun menyelamatkan bumi Palestine dari pencerobohan tentera Israel laknatullah.. Ya Allah hanya kepadamu aku berserah dan memohon pertolongan.. Bebaskan Rakyat Palestine dari kekejaman dan Kezaliman yang dilakukan oleh musuh nabi-nabi mu