Palestin Oh Palestin

2 Komen

Salam perjuangan,

Sesungguhnya di saat pejuang PAS meraikan kemenangan yang sudah dapat di jangka, sahabat kita pejuang HAMAS sedang berhadapan dengan persoalan hidup dan mati. Ayuh kita memperkuatkan doa dan usaha untuk merasai penderitaan yang dialami oleh sahabat kita di bumi Palestine. Tanggal 23 Januari 2009 telah diputuskan oleh pimpinan supaya Demonstrasi besar-besaran diadakan sekali lagi di hadapan kedutaan Amerika yang akan dikepalai oleh Presiden PAS sendiri. Walaupun saya cuba mencadangkan supaya diadakan di hadapan bangunan kedutaan Mesir kerana kegagalan mereka untuk menolong sahabat seagama mereka. Pada malam tersebut di Taman Melewar Kuala Lumpur akan diadakan ceramah besar sempena intifadhah Palestin dan meraikan kemenangan dalam PRK Kuala Terengganu yang lepas. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri Kelantan mengadakan Solat Hajat Perdana dan Kutipan Dana untuk rakyat Palestine dengan target kutipan terkumpul kesemuanya ialah RM 1 juta.

Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas khasnya dari Pemuda PAS seluruh Kelantan dan Kubang Kerian yang telah bertungkus lumus memastikan calon Pakatan Rakyat dapat memenangi kerusi P.036 dengan selesa.  Kepada semua petugas juga yang bertungkus lumus menjayakan program solat hajat dan kutipan dana Palestine anjuran Kerajaan Negeri Kelantan dan juga anjuran Parti Islam Se Malaysia PAS.  Semoga semua tindakan ini diharapkan dapat menjadi bukti di hadapan Allah SWT bahawa kita di Malaysia amat terasa keperitan dan kezaliman serta kekejaman yang dihadapi oleh sahabat rakyat Palestine. Mungkin kita juga harus berfikir, inilah kesannya jika Islam tidak didaulatkan sepenuhnya. Adakah sudah sampai masanya Imam Mahadi akan turun menyelamatkan bumi Palestine dari pencerobohan tentera Israel laknatullah.. Ya Allah hanya kepadamu aku berserah dan memohon pertolongan.. Bebaskan Rakyat Palestine dari kekejaman dan Kezaliman yang dilakukan oleh musuh nabi-nabi mu

LAILATUL QADAR HANYA DTG SEKALI

1 Komen

Hasil tulisan Hishamuddin Rais

DARI JELEBU

Ketika saya membesar di Jelebu, di minggu akhir di setiap bulan Ramadan saya akan memasang lampu pelita di sekeliling kawasan rumah saya. Cahaya pelita ini adalah tanda, nahu dan bahasa sebagai persediaan dari seorang kanak-kanak untuk menyambut malam Tujuh Liku atau malam kesampain Lailatulqadar. Satu malam yang paling suci lagi kudus berbanding dengan seribu malam-malam yang lain.

Mitos malam Lailatulqadar mengajar saya sebagai kanak-kanak untuk menyimpan harapan, mimpi dan niat. Kami kanak-kanak cukup bijak untuk menyimpang siurkan ajaran agama yang kami sendiri pun kurang arif. Kami cukup yakin bahawa di malam Lailatulqadar ini ada satu ketika di mana semua makhluk dan tumbuhan di bumi ini akan menyembah sujud kepada pencipta Yang Maha Esa. Pada malam yang mana satu? hari yang mana? jam berapa? Detik dan saat yang mana Lailatulqadar ini akan sampai tidak pernah di ketahui. Malam ini menjadi satu misteri untuk kami kanak-kanak.

Dari apa yang disurahkan, malam kudus ini hanya akan ditemui oleh mereka yang warak, suci dan beriman. Tetapi untuk kami kanak-kanak – iman, suci dan warak – bukan perhitungan. Saya menunggu kesampaian malam ini kerana saya memiliki seribu satu macam permintaan yang ingin saya sampaikan kepada Yang Maha Esa.

Dari surah orang tua-tua Malam Lailatulqadar akan melawati satu kali sahaja sesiapa yang bernasib. Kedatangannya mungkin dapat dilihat dan mungkin tidak dapat dirasai. Seperti ia sampai, malam ini juga akan pergi tanpa gendang dan nobat. Pernah saya mendengar riwayat bagaimana seorang lelaki warak ketika ingin mengambil air sembahyang telah meletakkan songkoknya di tepi perigi. Bila selesai berwuduk si Alim ini terperanjat besar kerana songkoknya telah tersangkut tinggi di pucuk kelapa. Ini berlaku kerana ketika si Alim ingin berwuduk Lailatulqadar telah sampai. Rupa-rupanya songkok telah diletakkan di daun kelapa kerana ketika itu pokok kelapa sedang bersujud kepada Yang Maha Esa.

Sayangnya Lailatulqadar datangnya hanya sekali. Si Warak ini tidak membuat apa-apa permintaan. Apa yang saya surahkan tadi adalah mitos pada zaman saya kanak-kanak. Apa yang ingin saya sambung di sini bukan mitos tetapi politik yang di eja dengan huruf K – realpolitik.

Sesudah pilihan raya ke 12 , Pakatan Rakyat telah ditubuhkan sebagai satu wadah untuk membawa politik baru. Pada awalnya ramai yang memiliki pendapat bahawa 5 negeri yang telah di menangi oleh Pakatan Rakyat perlu dijadikan negeri contoh. Ertinya ada ketelusan, ada keterbukaan dan ada sistem pentadbiran yang menyebelahi kepada tuntutan rakyat. Tanpa amalan rasuah dan tanpa birokrasi yang menyusahkan, maka negeri-negeri ini akan makmur. Pada pilihan raya yang akah datang 5 negeri Pakatan Rakyat akan menjadi contoh untuk membawa masuk negeri-negeri yang lain.

Bodoh. Ini pandangan bodoh yang tidak memiliki asas politik dan ekonomi. Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan sekarang. Lailatulqadar hanya datang sekali sahaja. Jika tidak diambil sekarang masa dan ketikanya tidak akan berulang lagi. Jangan sampai songkok tersangkut di pucuk kelapa.

Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang enggan dan tidak memahami apa itu konsep Federal/Persekutuan. Barisan Nasional yang selama 50 tahun ini telah memerintah tanpa mengambil indah dan menghormati konsep federal. Persekutuan Tanah Melayu/Malaya/Malaysia adalah negara federalisma di mana ada kuasa kerajaan federal dan kuasa kerajaan negeri. Pemisahan ini jelas dalam Perlembagaan. Kerajaan Barisan Nasional selama 50 ini telah meraban-raban ke hulu ke hilir dengan kuasa mereka tanpa ada halangan. Penyalah gunaan kuasa seperti ini wajib dijadikan sejarah.

Pakatan Rakyat wajib mengambil kerajaan Persekutuan Malaysia secepat mungkin untuk memberhentikan penyalah gunaan kuasa. Lailatulqadar hanya datang sekali sahaja.

Pakatan Rakyat hari ini sedang berhadapan dengan gerombolan Barisan Nasional yang telah kalah teruk. Kita tidak perlu membuka kitab Mao untuk memahami garis politik yang tepat – ketika musuh menyerang kita undur dan ketika musuh lemah kita menyerang. Barisan Nasional kini sedang nazak. Inilah masa yang tepat untuk terus menyerang dan membungkus mereka untuk dimasukkan ke dalam tong sampah sejarah. Lailatulqadar hanya datang sekali.

Perhatikan apa tingkah laku gerombolan Barisan Nasional ketika mereka nazak. Perjanjian di antara negeri dengan Kementerian Pelancongan telah dilupuskan. Ketua-ketua kampung di Perak telah di berhentikan. Ahli JKK diubahsuai. Fail dan maklumat negeri telah di musnahkan. Ini dilakukan ketika mereka nazak. Bayangkan jika mereka dapat bangun berjalan pasti Pakatan Rakyat akan dipukul musnah.

Lihat pula apa yang terjadi di Selangor. Dana NGO Balkis telah dipindahkan oleh isteri Khir Toyo seolah-olah ini harta datuk nenek moyang mereka yang dibawa dengan tongkang dari Jawa. Ini belum lagi di perinci berapa banyak fail-fail yang telah dikoyak rabak dan dimusnahkan sebelum pentadbiran kerajaan baru dapat memasuki pejabat kerajaan.

Sila jangan lupa apa yang terjadi kepada Radio Selangor? Radio ini adalah hak milik kerajaan negeri Selangor. Tiba-tiba stesen radio ini dipindahkan ke Angkasapuri. Apakah ini dengan niat jahat atau dengan niat baik?

Sila jangan lupa apa yang berlaku pada subuh 15 April 2008. Rumah Dr.Wan Azizah dan rumah Menteri Besar Selangor telah didatangi oleh polis. Polis telah diarahkan untuk mengambil kenyataan dari Wan Azizah dan MB Selangor kerana malam sebelumnya Pakatan Rakyat telah mengadakan satu rapat raksasa di Kampung Baru yang dianggap ‘perhimpunan haram’.

Dengan angkuh pihak polis telah enggan mengambil kenyataan Dr Wan Azizah dan MB Selangor di pejabat mereka. Polis mendesak mereka berbondong-bondong ke balai seolah-olah untuk dilihat umum sebagai orang jahat. Ini arahan siapa? Mereka langsung tidak ada niat untuk hormat kepada Menteri Besar dan Ketua Pembangkang.

Bandingkan dengan kes raba-raba buntut pelayan yang pelakon utamanya Jamaluddin Jarjis. Dari laporan akhbar, kita diberitahu bahawa ketua polis yang sama telah menjalankan siasatan. Tetapi di mana kenyataan Jamaluddin Jarjis ini diambil? Dari laporan akhbar kita hanya di beritahu bahawa “pihak polis telah menemui bekas menteri ini di satu tempat”.

SATU TEMPAT ini di mana? Kenapa Jamaluddin Jarjis tidak diminta datang ke balai polis. Kenapa Wan Azizah dan MB Selangor dipaksa datang walhal kes raba-raba buntut adalah satu jenayah seksual yang amat berbahaya. Ini adalah bukti bahawa pihak polis juga kini telah menjadi perkakas Barisan Nasional. Mereka ini akan melakukan apa sahaja untuk mempertahankan gerombolan Barisan Nasional ini.

Kerana itu Pakatan Rakyat tidak akan selamat jika tidak mengambil kerajaan Persekutuan secepat mungkin. Lailatulqadar datang hanya sekali. Jangan nanti tercengang-cengang apabila melihat songkok tersadai di atas pucuk kelapa.

Saya yakin dalam masa jangka yang singkat gerombolan Barisan Nasional dan United Malay National Organisation akan melakukan pelbagai bentuk sabotaj. Berita telah mula keluar tentang dana federal akan dikurangkan ke lima negeri-negeri Pakatan Rakyat, walhal lima negeri inilah pembayar cukai terbanyak dan penjana ekonomi Malaysia.

Adalah menjadi satu kesilapan besar jika ada penyokong Pakatan Rakyat merasa takut untuk terus mara merampas dan mengambil pentadbiran Persekutuan. Warga dan para penyokong Pakatan Rakyat wajib bersedia dan jangan takut dengan kemenangan.

Jika gerombolan Barisan Nasional ini faham dan menghayati konsep dan falsafah federalisma maka tidak timbul saranan untuk merebut kerajaan Persekutuan. Tidak timbul tiupan sangka kala ini. Kerajaan dalam sistem demokrasi boleh beralih dan bertukar ganti.

Adalah satu kesilapan politik besar jika para pemimpin Pakatan Rakyat cuba menunggu lama dan hanya melihat gerombolan Barisan Nasional yang telah tergelincir kuasa. Mereka yang tergelincir dan berkemungkinan hilang kuasa akan melakukan apa sahaja. Bayangkan berbilion-bilion ringgit dana yang selama ini mereka rompak dan agihkan kepada suku sakat mereka. Tiba-tiba pengaliran dana ini akan dihentikan oleh Pakatan Rakyat.

Bayangkan pula ratusan ribu hektar tanah yang tela berikan oleh Khir Toyo kepada kaum keluarganya di Selangor. Bagaimana pula di Perak, di Negeri Sembilan, di Kedah dan di Pulau Pinang? Semua ini akan dikaji siasat. Dan mereka sedar jika mereka tidak menyerang Pakatan Rakyat mereka semua akan di bawa ke mahkamah. Tetapi buat masa ini kerana mereka sedang bergaduh sesama sendiri maka tenaga dan daya usaha mereka belum sempat di hadapkan kepada Pakatan Rakyat.

Justeru bila musuh lemah kita menyerang. Jangan tunggu mereka kuat. Lailatulqadar hanya datang sekali.

Pakatan Rakyat wajib belajar dari apa yang telah terjadi di Terengganu. Apabila Haji Hadi telah menemui ratusan ribu duit tunai dalam laci Wan Mokhtar pada malam kemenangan di Terengganu pada tahun 2004 dahulu, tidak ada apa-apa tindakan diambil. Ini kesilapan besar. Apabila musuh jatuh itulah masanya kita menerkam. Apabila musuh lemah itulah masanya kita menyerang. Dalam politik kita mesti berani mencekik leher seteru politik kita. Jika tidak musuh ini akan menyusun untuk bangun dan melawan kembali.

Rakyat sedang menunggu untuk merebut kemenangan. Kerajaan Persekutuan wajib diambil secepat mungkin. Saat dan masanya untuk bertindak ialah sekarang. Jangan biarkan saat itu beredar. Malam Lailatulqadar hanya datang sekali. Lima tahun dari hari ini jangan ternganga dan tercengang kerana songkok tersangkut di atas pucuk kelapa.