PRK PERMATANG PASIR

4 Komen

Salam perjuangan,

SPR telah mengumumkan bahawa penamaan calon akan diadakan pada 17 ogos (Isnin) dan pengundian pula pada 25 (Selasa). Selain itu, tiada kompromi lagi untuk bangsal panas, perayu undi.  TPM Tan Sri Muhyidin Yassin berkata beliau mewakili BN akan mematuhi segala arahan dari SPR cuma beliau meminta SPR memantau perjalanan kempen pihak pembangkang. Sandiwara yang dilakukan oleh TPM ini seolah -olah cerita seorang pencuri yang bimbang di tuduh mencuri maka dia cepat-cepat menuduh orang lain sebagai pencuri. Memang dari pengamatan saya selaku rakyat bawahan, pihak yang sentiasa melanggar peraturan ialah pihak Kerajaan kerana mereka rasa mereka amat kebal dari undang-undang. Pihak mana yang menggunakan jentera Kerajaan untuk berdepan dalam setiap PRU atau PRK, pihak mana yang menggunakan wang bagi merasuah pegundi supaya menyokong mereka, pihak mana yang menggunakan media massa sebagai media kempen mereka ? pihak mana yang mengugut kakitangan kerajaan supaya menyokong mereka ? semua ini jelas kepada kita bahawa pihak mana yang telah melanggar arahan SPR dan pihak mana yang mematuhinya.

Saya tidak berani bertaruh tetapi saya cukup yakin jika UMNO BN bertanding sebagai anak jantan dengan tidak menyalahgunakan jentera kerajaan maka PR sudah lama memerintah Malaysia. UMNO/BN jangan bermimpi untuk memenangi mana-mana PRK atau PRU.  Sama-sama kita berdoa semoga semua pihak bersedia untuk bertanding secara anak jantan dan mematuhi segala arahan SPR dengan betul.

Kepada PAS dan Pakatan Rakyat, saya ingin mengingatkan supaya jangan merasa selesa dengan majoriti yang besar semasa PRU ke 12 baru-baru ini.  Saya melihat UMNO akan menggunakan strategi di MU baru-baru ini sebagai asas dengan membaiki segala kelemahan yang ada untuk berhadapan dengan calon PAS di PM nanti.  Soal calon yang di terima oleh rakyat mestilah menjadi kriteria utama, selain populariti seseorang calon tersebut.  Jika PM Datuk Seri Najib sudah memberi amaran kepada semua UMNO bahagian bahawa jawatan tidak lagi menjadi kriteria utama pemilihan calon sebaliknya penerimaan rakyat kepada seorang calon itu yang diutamakan sesuai dengan tema beliau iaitu rakyat diutamakan maka apa salahnya jika Pakatan Rakyat khasnya PAS sendiri mengguna pakai kaedah pemilihan calon seperti ini selagi mana ianya tidak bercanggah dengan syariat itu sendiri.

RAYA PUASA ENAM

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Sambutan raya yang diadakan oleh pelbagai organisasi dan individu nampak mendapat sambutan yang baik dari masyarakat. Majlis yang seumpama ini boleh merapatkan silaturrahim di kalangan kita. Namun di sebalik kemeriahan tersebut diharapkan kita semua tidak lupa satu lagi tuntutan ibadat yang perlu dilakukan di dalam bulan Syawal ialah puasa sunat selama sekurang-kurangna enam hari. Sesiapa yang berpuasa sebulan bulan ramadhan dan diikuti pula enam hari dalam bulan syawal maka ia seolah-olah telah berpuasa selama setahun. Besarnya fadhilat berpuasa enam hari dalam bulan syawal ini. Harap kita semua tidak akan melepaskannya. Saya sendiri pun belum berkesempatan untuk berpuasa.

Hari ini sambutan raya peringkat PAS Kawasan Kubang Kerian yang diadakan di SMUA Taqaddum Maarif Pasir Tumboh bermula jam 5 ptg hingga 11 malam. Program jamuan beserta ceramah isu semasa yang disampaikan oleh YAB Tok Guru, YB Dato Hj Husam, YB Sallehudin, YB Ahmad Baihaki, YB Mohd Mustafa. Hari khamis 9.10.08 pula sambutan raya peringkat Badan Perhubungan PAS Negeri yang bermula jam 9 pg hingga 3 ptg yang diadakan di perkarangan stadium. Malamnya diadakan ceramah perdana yang akan disampaikan YAB Tok Guru, YB DSAI, YB Dato Husam, YB Saifudin di padang perdana.

Hari sabtu 11 okt 2008 pula sambutan raya peringkat parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.  Hari Ahad 12 Oktober 2008 pula sambutan raya peringkat PAS Malaysia yang diadakan di satadium Melawati Selangor.  Selain itu juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan akan mengadakan sambutan raya untuk anak Kelantan di luar Kelantan sekitar Shah Alam.  Diharapkan sambutan raya yang kita adakan ini adalah merupakan sambutan kemenangan dan kejayaan kita mengatasi musuh kita yang nyata iaitu syaitan laknatullah dan nafsu kita sendiri. Lafaz dalam takbir raya sepatutnya membuatkan kita lebih sedar dan faham tuntutan perjuangan dan mengenali musuh kita.

Dalam keadaan begitu pun, saya masih merasa pelik bin ajaib kerana ada orang masih mengharapkan UMNO BN untuk melaksanakan Islam. Bagi saya kalau UMNO ikhlas untuk melaksanakan Islam maka 50 tahun dulu mereka telah melaksanakannya iaitu ketika mereka kuat. Sekarang di saat UMNO nazak adakah UMNO bersedia untuk berbuat demikian. Kalau PAS bersama UMNO maka selamanya PAS tidak dapat merampas kerusi Melayu Islam yang dipunyai oleh UMNO. Ini akan menjadikan PAS sentiasa kebelakang dan tiada peluang untuk menjadi teraju pemerintahan negara pada masa hadapan. Malah berkemungkinan sejarah lalu akan berulang lagi iaitu apabila UMNO kuat semula dan PAS akan ditendang begitu sahaja. Fikir-fikirkanlah……