OH TOK GURU

2 Komen

Salam perjuangan…

Alhamdulillah sekali lagi saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah menunjukkan jalan keluar yang baik mengenai isu yang melanda Kerajaan Negeri Kelantan dan Tok Guru.  Bagi saya ini adalah petanda bahawa Allah SWT menyayangi Tok Guru dengan ujian yang menimpa beliau dan Allah SWT jugalah yang memberi petunjuk kepada Tok Guru bagaimana jalan keluar yang terbaik untuk mengatasi semua isu yang melanda.  Sekaligus menjadikan Tok Guru adalah seorang yang sangat dihormati oleh Kawan dan lawan. Ianya juga menjadikan Tok Guru terus relevan untuk mengetuai Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan UMNO dan BN dalam PRU ke 13 nanti.  Tok Guru juga insyaallah akan terus dikenang sebagai orang yang berperinsip dan mengutamakan Jamaah melebihi dari kepentingan peribadi.  Saya juga menghormati keputusan menantunya yang sedia mematuhi nasihat Tok Guru supaya meletakkan jawatan demi kebaikan jamaah, pemimpin Islam dan juga Kerajaan Negeri Kelantan.  Sikap yang ditunjukkan oleh Tok Guru dan Menantunya adalah sesuatu yang amat bernilai dan tidak mungkin akan berlaku di dalam mana-mana parti lain melainkan di dalam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sahaja. 

Penyelesaian isu yang melanda ini saya cukup yakin akan menamatkan segala kontroversi yang berlaku pada hari ini. Saya juga ianya akan menjadikan Tok Guru dan PAS semakin diyakini oleh seluruh rakyat serta mampu menjadi parti Alternatif dalam PRU ke 13 nanti.  Saya juga mengucapkan tahniah kepada Presiden,Naib Presiden,Tim Musrsyidul Am dan bendahari PAS Pusat serta seluruh pimpinan yang telah membuat keputusan yang terbaik untuk menyelesaikan isu yang hangat dengan penyelesaian yang penuh dengan ketenangan dan dapat diterima oleh semua pihak.

Mungkin ada yang bertanya apakah isu tersebut. Suka saya jelaskan di sini tidak perlu saya menghuraikan apakah isu tersebut kerana ianya sudah di sebut oleh semua blog-blog utama.  Saya juga ingin menegaskan tidak timbul siapa yang bersalah dalam isu yang berlaku ini. Cukuplah dengan keterbukaan semua pihak menerima segala penyelesaian yang dicadangkan dengan hati yang penuh ikhlas dan keinginan mengutamakan jamaah melebihi dari kepentingan diri sendiri.  Sekali lagi saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Tok Guru ku yang sangat dihormati dan semua pihak yang telah berjaya menyelesaikan segala kemelut yang berlaku. Sekaligus menutup pintu fitnah yang mungkin akan digunakan oleh UMNO untuk menikam PAS selepas ini. Alhamdulillah dan syukur…. Ya Allah..Engkaulah yang mengamanahkan perjuangan Islam ini ke atas kami dan engkau yang akan menjaga perjuangan ini dari unsur-unsur yang boleh memusnahkannya.  Amin….

STABILKAH UMNO JIKA MEMERINTAH PERAK…

1 Komen

Salam perjuangan,

Drama politik yang berlaku cukup pantas memaksa kita semua untuk sepantas itu juga mempelajari cara menangani dengan baik. Dalam tempoh 10 hari bermula dengan pengumuman ADUN Bota dari BN mengisytiharkan menyertai PKR. Diikuti pula kehilangan dua orang EXCO Perak dari PKR yang terlibat dengan isu rasuah selama 5 hari. Pengumuman Speaker DUN Perak bahawa kedua ADUN tersebut telah meletakkan jawatan diikuti mesyuarat Khas SPR yang kemudiannya menolak untuk mengadakan pilihanraya kecil di Behrang dan Changkat Jering atas alasan surat tidak sah. Drama ini diteruskan lagi dengan pengumuman keluar PKR oleh ADUN tersebut bersama seorang lagi ADUN dari DAP bertindak menjadi ADUN Bebas seolah melengkapkan drama bersiri ini. MB perak kemudiannya mengadap Sultan Perak untuk membubarkan DUN Perak bagi memulangkan mandat kepada rakyat untuk menentukan siapa yang akan memerintah Perak dengan sah. Dalam masa yang sama TPM mengadakan sidang akhbar mendakwa telah mencukupi majoriti untuk membentuk Kerajaan Perak yang baru. Pagi ini TPM bersama Menteri di JPM telah masuk mengadap Sultan Perak dan kemudiannya memmpengerusikan mesyuarat BN di Perak bersama semua parti komponen BN. Drama bersiri ini belum sempurna jika tiada kesudahannya. Sebagai penonton saya hanya mengharapkan kesudahan yang baik kepada sebuah cerita yang amat mencemaskan ini. Apa yang saya maklum kesudahannya hanya ada tiga kesudahan iaitu 1. Sultan memperkenankan pembubaran DUN Perak sebagaimana permohonan MB Perak. 2. MB Perak meletakkan jawatan. 3. Usul undi tidak percaya dalam sidang DUN akan datang. Sehingga salah satu dari tiga perkara itu tidak berlaku maka Kerajaan Pakatan Rakyat Perak masih sah memerintah.

Jika ditakdirkan Kerajaan Perak bertukar tangan maka gegak gempitalah seluruh penyokong UMNO memuji Kebijaksanaan bakal PM mereka merampas negeri Perak dari PR dengan cara yang tidak bermaruah. Mungkin ini sudah menjadi amalan UMNO dari dulu,kini dan selamanya. Jika UMNO memerintah Perak adakah semua masalah dalaman UMNO untuk menghadapi sebelum, semasa dan selepas pemilihan UMNO bulan Mac ini akan turut selesai. Adakah UMNO boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa rakyat Perak dan semua rakyat Malaysia sudah bertaubat dan kembali menyokong UMNO dan kepimpinannya untuk terus memerintah. Fikirlah sebaiknya wahai pemimpin UMNO. Pandangan dari Dr Mahathir juga jelas dan jika semua ahli UMNO menerima apa yang pemimpin mereka lakukan tanpa sebarang persoalan maka seolah-olah mereka merertui amalan rasuah dan imej pemimpin yang buruk menjadi pemimpin mereka.

Berita terkini melalui buletin TV3 mengatakan Sultan Perak akan membuat keputusan pada petang ini samada membubarkan DUN Perak atau memperkenankan penubuhan Kerajaan baru Perak dari BN. Sama-samalah kita mendoakan agar Sultan Perak akan membuat keputusan yang sewajarnya dalam menangani isu yang agak konflik juga di Perak tetapi dengan pengalaman Baginda yang pakar dalam undang-undang saya jangka Sultan tidak mudah di beli oleh mana-mana pihak untuk membuat keputusan yang baik bagi menyudahkan skrip drama yang sudah dimulakan oleh pengarah di sebalik tabir…

MINYAK NAIK VS NAIK MINYAK

Tinggalkan komen

Salam perjuangan,

Muttakhir ini rakyat Malaysia telah menerima hukuman setimpal kerana telah menolak BN dalam PRU 12 baru-baru ini. Apa pun alasan yang diberikan samada disebabkan kenaikan harga minyak sedunia atau penyusunan semula subsidi minyak semuanya itu merupakan alasan untuk menghalalkan kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat. Fahaman akuisme telah menusuk masuk kedalam benak semua pemimpin BN yang telah kekeringan idea untuk membangunkan negara melainkan dengan jalan mudah iaitu menaikkan harga minyak. Dengan pendapatan negara yang bertambah melalui kenaikan harga minyak maka Paklah dapat mengekang pengaruh pembangkang dan musuh politik dalam usaha menjatuhkan beliau secara terhormat. Apa tidaknya pengumuman dalam lawatan ke Sarawak iaitu peruntukkan sejumlah 1 billion ringgit serta elaun helikopter kepada semua ahli parlimen sebanyak RM 15,000.00 sebulan adalah merupakan rasuah politik wang secara yang dibenarkan. Bagaimana dengan ADUN di Sarawak adakah mereka tidak melawat kawasan pedalaman ???

Berbalik kepada soal minyak, mengapa Kerajaan BN terpaksa menipu rakyat sebanyak 2 kali dalam isu kenaikan harga minyak ? Suasana kelam kabut di semua stesen minyak pada malam kenaikan harga minyak ketika negara sedang bersiap sedia menyambut Hari Keputeraan Agong. Apakah ini hadiah terbaik untuk Agong selepas BN memerintah 50 tahun yang lalu ?

Di sebalik kecaman dan kritikan yang hebat diberikan kepada BN, ada juga pandangan kedua di terima iaitu Paklah sengaja mengundang rakyat supaya membuat huru hara di seluruh negara bagi membolehkan PM menggunakan kuasa mendaruratkan sebahagian negeri khasnya yang diperintah oleh Pakatan rakyat untuk mengambil alih kuasa semula sebagaimana Kelantan alami pada tahun 1978 dulu. Mengapa tidak, warta berita seolah-olah mengapi-apikan rakyat dengan menayangkan berita demonstrasi di seluruh dunia membantah kenaikan harga minyak sehingga ada di kalangan rakyat yang naik minyak sehingga sanggup merusuh dan memusnahkan harta benda awam. Apakah PM dan RTM juga mengharapkan suasana yang serupa berlaku di negara kita ?

Satu lagi teori isu harga minyak ini ialah untuk menenggelamkan isu perbalahan dalaman UMNO dan isu menuntut Paklah turun dari kerusi Presiden dan PM.  Sekarang ini rata rakyat hanya bercakap isu kenaikan harga minyak seolah melupakan isu kelemahan paklah dalam mentadbir negara dan parti.  Saya begitu kagum dengan keberanian Paklah yang terpaksa membayar dengan harga yang mahal bagi mengalih perhatian rakyat sehingga ianya mampu menggugat pentadbiran beliau sebagai PM.

Saya menaruh kepercayaan yang cukup tinggi kepada semua pimpinan Pakatan Rakyat untuk menangani isu ini dengan bijaksana. Kita tidak mahu apa yang dikejar tidak dapat dan yang dikendong keciciran. Di samping itu juga, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya kita sama-sama celik akal dan mata untuk menilai pimpinan mana yang sebenarnya memperjuangan nasib rakyat. Marilah sama-sama kita mendoakan supaya hanya pemimpin yang benar-benar ikhlas saja mampu meneruskan kepimpinan di Malaysia khasnya dan dunia amnya. Amin.